MH370


SHAH ALAM – Syarikat satelit Inmarsat menolak dakwaan pihak kerajaan Malaysia bahawa pihaknya tidak menyerahkan data asal yang diperoleh kepada pasukan penyiasat yang terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat MH370.

Naib Presiden Inmarsat United Kingdom, Chris McLaughlin berkata, semua data asal telah diserahkan kepada pihak berkuasa sejak awal lagi.

“Kami telah kongsikan segala maklumat yang kami ada dan bagaimana atau bila maklumat tersebut didedahkan terpulang kepada pihak penyiasat.”

“Kami amat yakin terhadap analisis data ini yang juga telah dikaji oleh pasukan penyiasat rasmi,” katanya dalam satu temubual dengan saluran berita CNN.

Dalam pada itu, ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 terus menggesa kerajaan Malaysia mendapatkan data asal yang belum diproses daripada Inmarsat supaya data itu dapat dikongsi bagi membolehkan ianya dianalisis oleh pakar-pakar penerbangan.