Isnin, 12 Mei 2014

Dilema SRA: Kapasiti 900, murid lebih 1,200


Dilema SRA: Kapasiti 900, murid lebih 1,200  
Keadaan dalam kelas dipenuhi pelajar dengan jumlah melebihi kapasiti dalam kelas yang sepatutnya.
 

DENGAN jumlah murid  1,244 orang, sedangkan kapasiti sepatutnya hanya kira-kira 900 murid, Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Khawarizmi, Pantai Dalam di sini, berdepan dengan kesesakan murid ditambah permintaan semakin bertambah menyebabkan satu-satu bilik darjah itu melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Mengambil contoh bagi murid darjah lima, lebih 200 murid direkodkan, namun kelas yang diperuntukkan hanya empat menyebabkan setiap satunya mempunyai jumlah murid yang ramai lebih-lebih lagi pada sesi petang.

Sekolah ini menjadi satu-satunya SRA di kawasan Pantai Dalam setelah dua sekolah lain, iaitu di Kampung Kerinchi dan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya, ditutup dan pelajarnya dipindahkan ke SRA ini.

Sumber Jabatan Agama Islam, berkata, kesesakan di situ dikenal pasti berlaku sejak 2009 lagi sejak penutupan SRA di Kampung Kerinchi.

Keberadaan murid sehingga lebih 40 orang dalam satu-satu bilik darjah tidak dapat dielakkan meskipun kapasiti sepatutnya hanya sekitar 35 orang bagi memastikan sesi pembelajaran yang lebih baik.

Ketika tinjauan Sinar Harian, mendapati kebanyakan kelas mempunyai bilangan murid yang ramai sehingga kerusi dan meja disusun sehingga ke belakang.

Meskipun begitu, ruang kelas yang agak besar membuatkan keadaan masih lagi tersusun, dan setiap murid masih mempunyai meja sendiri tanpa perlu dikongsi.

Secara kebetulan kebanyakan murid tahun lima terlibat dengan aktiviti di sekolah kebangsaan masing-masing, kehadiran murid agak kurang namun setiap kelas masih kelihatan ‘penuh’, menggambarkan kesesakan yang berlaku jika semua murid hadir.

Tiada ulasan: