Bantah GST


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengakui terdapat sesetengah peserta Himpunan Bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semalam telah melanggar syarat dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Timbalan Presidennya, Abdullah Sani berkata, walaupun beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu namun tegasnya ia harus dikuatkuasakan secara seragam termasuk perhimpunan anjuran kerajaan.

"Perhimpunan anjuran kerajaan, apabila mereka membawa anak-anak kecil, tiada isu langsung dalam soal ini, walaupun ia bercanggah dengan APA 2012.

"Jadi kalau hendak kuatkuasakan (APA 2012) perlu secara seragam. Persamaan itu perlu, ia kena datang daripada kerajaan dulu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pelanggaran syarat APA 2012 oleh beberapa peserta himpunan tersebut termasuk membawa kanak-kanak, suar, pembesar suara dan menggunakan kata kesat.

Mengulas lanjut, Abdullah menambah, peserta yang membawa anak masing-masing termasuk bayi mungkin terpaksa berbuat demikian kerana kesukaran mencari penjaga ketika cuti umum Hari Pekerja semalam.

Bagaimanapun tegasnya, larangan itu sewajarnya dipatuhi peserta namun kedegilan mereka tidak dapat dikawal penganjur semalam.

Namun katanya larangan itu sepatutnya terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian termasuk himpunan anjuran kerajaan.

"Isu itu (larangan bawa kanak-kanak) kawalan saja, untuk menjaga keselamatan mereka daripada insiden yang tidak diingini.

"Orang kerajaan juga wajib mengikuti undang-undang," katanya lagi.