Ahad, 10 November 2013

Wajarkan pimpinan PAS hanya dari kalangan ulama?

Oleh: Pengerusi Tetap Muktamar

Jika PAS menyertai pilihan raya kerana suka-suka, lebih baik PAS menjadi NGO seperti Abim, Ikram atau mungkin menjadi seperti tabligh.





PAS adalah sebuah parti politik yang bercita-cita untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Itulah matlamat utama kenapa PAS menyertai pilihan raya. Jika PAS menyertai pilihan raya kerana suka-suka dan tidak meletakkan matlamat kemenangan yang jelas, lebih baik PAS menjadi NGO seperti Abim, Ikram atau mungkin menjadi seperti tabligh.

Apabila jelas cita-cita menyertai pilihan raya, PAS mesti memahami bagaimana kuasa pemerintahan yang diidam-idamkan itu berjalan dan apakah struktur yang menggerakkan sebuah kerajaan. Dari situlah, PAS mesti menyediakan dirinya agar mampu dan dilihat mampu untuk memikul amanah, iaitu menyediakan pemimpin-pemimpin parti bagi menghadapi cabaran mengurus sebuah kerajaan. Barisan kepemimpinan dan kompetensi sebuah parti itu sendiri akan mencerminkan sejauh mana parti itu bersedia memimpin sebuah negara.

Kerajaan sebuah negara bukan hanya mengurus bab agama sahaja, bukan fokus pada hukum jenayah sahaja. Mari kita lihat secara kasar apakah skop kerja sebuah kerajaan.

Kerajaan Malaysia hari ini mempunyai 22 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri. Kementerian ini mewakili portfolio tertentu. Di bawah setiap kementerian terdapat berpuluh-puluh agensi, jabatan, institusi, suruhanjaya, majlis, perbadanan, syarikat, pusat pembangunan dan penyelidikan, lembaga, akademi, yayasan, bahagian dan unit.

Contohnya di bawah Kementerian Kesihatan, bidang-bidang yang dinaungi oleh kementerian ini termasuk amalan perubatan, peranti perubatan, kejururawatan, kualiti makanan, pergigian, pembangunan kesihatan, pendidikan kesihatan, latihan, khidmat farmasi, perubatan tradisional, sains kesihatan, kejuruteraan perubatan, telekesihatan, psikologi, perubatan dan kesihatan kanak-kanak, pengawalan fatmaseutikal kebangsaan, 104 buah hospital kerajaan, jabatan kesihatan negeri-negeri dan pejabat kesihatan daerah-daerah.

Pentadbiran sebuah negara juga terlalu luas skopnya, tidak hanya tertumpu kepada bidang keagamaan sahaja. Antara sektor-sektor lain yang termasuk dalam skop pentadbiran kerajaan ialah:

Maritim, undang-undang, istiadat dan raja-raja, perlembagaan, kabinet kerajaan, hartanah, institut integriti, majlis agama Islam, guaman, kehakiman, mahkamah sivil dan syariah, kemajuan Islam, demokrasi dan parlimen, perangkaan, perpaduan negara, intergrasi nasional, wakaf zakat dan haji, kemajuan wilayah dan luar bandar, keselamatan negara, perancang ekonomi, kemahiran belia, pembangunan sukan, pembangunan belia, imegresen, pertubuhan, pendaftaran negara, penjara, polis, tentera, kemajuan desa, kemajuan orang asli, perladangan dan perlombongan.

Pembangunan infrastruktur, lembaga arkitek, kejuruteraan, juruukur, industri berat dan sederhana, pertahanan awam, penyelamat dan bomba, kerajaan tempatan, perumahan, pengurusan sisa pepejal, kastam, bank negara, bursa saham, perakaunan, lembaga hasil, struktur percukaian, struktur subsidi, perancangan ekonomi, pertumbuhan ekonomi, pengawalan hutang negara, dasar fiskal, perolehan, zakat, pensyarikatan, penerangan, penyiaran, perfileman, pemberitaan, komunikasi, multimedia, media sosial, hubungan antarabangsa, diplomasi, kedutaan, dasar luar negara, ekonomi serantau, pendidikan tinggi, akreditasi, matrikulasi, 47 kolej komuniti, 27 politeknik, 20 IPTA dan lebih 400 IPTS, pinjaman pendidikan, penyelidikan dan pembangunan, pengantarabangsaan, pembangunan kurikulum, pendidikan khas dan OKU.

Bahasa, kepustakaan, penterjemahan, industri perbukuan, dasar dan falsafah pendidikan, perguruan, sekolah, pendidikan asas, pelancongan, arkeologi, pembangunan wanita, kebajikan, pembangunan keluarga, automotif, keselamatan jalan raya, penerbangan awam, keretapi, pengangkutan laut, pelabuhan, keusahawanan, import eksport antarabangsa, pelaburan, industri halal, perdagangan luar, perusahaan kecil dan sederhana, produktiviti negara, francais, koperasi, harta intelek, tribunal pengguna, angkatan tentera darat laut udara, penyelidikan dan pembangunan ketenteraan.

Dasar dan panduan

Agrikultur, penyelidikan pertanian, pengairan dan saliran, perikanan, veterinar, permasaran pertanian, hub halal, perladangan, botani, komoditi, industri perkayuan, pembalakan, agensi angkasa, agensi nuklear, bioteknologi, farmaseutikal, nutraseutikal, meterologi, tenaga atom, sains dan teknologi, komersialisasi teknologi, pembudayaan sains dan teknologi, sumber asli, alam sekitar,
perhutanan, tanah dan ukur, pencemaran alam sekitar, teknologi hijau, zoologi, perhilitan, tanah dan galian, mineral, geosains, pengairan dan saliran, taman laut, pemetaan, tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan dan pemuliharaan flora fauna, kesatuan sekerja, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia, pengangguran, penggajian, perkeso, bekalan air, pembentungan, tenaga, minyak dan gas, industri hiliran dan huluan, pemprosesan bahan bakar, penerokaan dan pemampanan sumber tenaga.

Segala dasar, panduan dan sistem untuk sektor-sektor ini berfungsi adalah berpandukan perlembagaan dan akta-akta yang telah diluluskan di Parlimen.

Walaupun PTM menyenaraikan semua sektor ini, bukanlah bermaksud pemimpin PAS perlu menguasai secara terperinci semua bidang ini. Tetapi, dalam membentuk pasukan kepemimpinan parti, PAS perlu menyedari bahawa isu-isu yang berlaku dalam negara ini tidak hanya tertumpu terhadap isu agama yang khusus sahaja, tetapi juga merangkumi bidang dan disiplin ilmu yang pelbagai. Justeru PAS juga perlu memiliki pemimpin yang merupakan ahli dalam bidang lain terutama ekonomi dan undang-undang.

Meskipun terdapat beribu-ribu pegawai kerajaan yang ahli dalam bidang tertentu dan bekerja menguruskan sektor-sektor itu, namun sebagai sebuah parti politik yang ingin memerintah Malaysia, wakil-wakil yang dihantar ke Parlimen juga mesti terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran, bukan hanya dipenuhi oleh ustaz-ustaz yang berlatar belakang pengajian agama. Kerana untuk membahaskan isu-isu dan akta-akta baru bagi mengurus tadbir sektor-sektor tertentu dalam negara, memerlukan ahli-ahli yang pakar dalam bidang tersebut.

Menyedari hakikat bahawa perjalanan sebuah negara ini merangkumi pelbagai sektor dan kepakaran, para ulama yang berada di dalam PAS mestilah lebih kompeten untuk menanggapi pelbagai isu ini.
Meskipun latar belakang mereka adalah pengajian agama dan syariat, di sinilah peranan mereka untuk mengintegrasi pelbagai bidang dengan ilmu mereka demi memastikan pentadbiran negara dipandu oleh prinsip-prinsip syarak.

Contohnya apakah panduan syarak berkaitan pembahagian hasil mahsul sesebuah negeri, hak anak yatim, ibu tunggal dan OKU. Demikian juga dalam wacanan ekonomi dan pasaran dalam negara, apakah panduan Islam dalam pengurusan tender, ekonomi pasaran bebas, monopoli, fiqh aulawiyyat dalam pengurusan polisi fiskal. Atau mungkin dalam isu pemeliharaan alam sekitar, pencemaran sungai, penyuburan budaya ilmu, dan sebagainya.

Ulama bukan hanya bercakap soal kewajipan hukum hudud atau kempen solat dan bayar zakat, atau isu melantik pemimpin bukan Islam. Tetapi peranan ulama itu merangkumi persoalan panduan dalam segala sektor pentadbiran dengan cara mengkaji, menyediakan kertas kerja, membentang dan berbahas berkenaan polisi-polisi pentadbiran kerajaan. Para ulama perlu membongkar semula tamadun Islam yang berusia ratusan tahun seperti Turki Uthmaniyyah. Mengkaji dan mengimport dasar-dasar dan polisi mereka dalam hal ekonomi, sosial, politik, kemajmukan kaum dan agama, ketenteraan dan undang-undang sehingga kerajaan Islam mampu berdiri selama beberapa ratus tahun.

Untuk mengintegrasi semua sektor-sektor ini dengan asas ilmu syariah dan pengajian Islam, memerlukan ulama dan ustaz yang mampu menguasai isu-isu semasa, asas ilmu ekonomi, undang-undang, sains sosial, falsafah dan sebagainya. Kita memerlukan ulama yang luas bahan bacaannya merangkumi pelbagai bidang ilmu dan yang menguasai Bahasa Inggeris kerana banyak bahan kajian dan perbincangan diterbitkan dalam bahasa itu. Sudah tiba masanya PAS mengangkat pemimpin pelbagai bidang (menguasai bidang agama dan bidang-bidang lain).

Adakah PAS sedang bergerak ke arah itu, atau sebahagian individu dalam PAS sedang mengundur ke belakang dengan kerja-kerja mencantas pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai kebolehan pelbagai bidang ini?

Rencana ini dipeik dari thecybersniper.blogspot.com

Tiada ulasan: