Isnin, 4 November 2013

Ustaz Azam seru pengundi keluar awal

Muhammad Faizal,


JERAI: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat menyeru para pengundi keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan nama-nama pengundi disalah guna.

Katanya, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sebelah petang, peluang mengundi lebih awal adalah waktu terbaik untuk pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain itu, beliau juga meminta para pengundi yang berada di luar agar pulang bagi memastikan legasi perjuangan PAS dapat diteruskan.

"Membuat pilihan yang bijak, terus memilih PAS agar segala apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan dapat kita teruskan. Ingat satu undi adalah satu bantah kenaikan harga barang," jelasnya ketika ditemui semalam.

Katanya, Allahyarham Ustaz Azizan berada pada satu tahap nilai tersendiri dan sukar untuk mencari pengganti yang seratus peratus menyamai beliau.

Namun, beliau yakin dengan sokongan dari semua pihak, jentera, ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk rakyat Dun Sungai Limau akan memberi semangat baru kepadanya meneruskan amanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan.

"Kita belajar dari Allahyarham Ustaz Azizan di mana beliau amat mendekati pengundi di sini, harapan beliau agar penduduk dan pemimpin berada dekat dengan rakyat.

"Beliau mahukan setiap masalah rakyat didengari, rakyat senang mendekati pemimpin dan tidak ada sebarang protokol yang boleh memisahkan pemimpin dengar rakyat.

"Itu yang kita pelajari dan akan kita teruskan sampai bla-bila, harapan saya agar pengundi di sini mengambil peluang dan berfikir matang dalam membuat keputusan esok (hari ini)," jelasnya.

Justeru, beliau mengharapkan pengundi memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS agar isyarat bantahan terhadap tindakan kerajaan menekan rakyat dapat diperolehi.

Tegasnya, kebajikan rakyat perlu diutamakan dan mereka perlu meletakkan hari pengundian hari ini sebagai hari protes rakyat kepada kerajaan.

Tiada ulasan: