Khamis, 21 November 2013

Undian Pemuda PAS Bermula, Jawatan Timbalan Jadi Tumpuan




Calon bagi jawatan Ketua Pemuda PAS dari kiri Zulhasmi Sariff, Suhaizan Kaiyat dan Kamarulzaman Muhammadd di Mutkamar Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya pada Khamis. -Foto: ROHAIZAT 
MD DARUS/THE STAR
 
 
PETALING JAYA: Proses pemilihan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat bermula kira-kira pukul 11.15 pagi membabitkan seramai 673 perwakilan. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-54 kali ini menyaksikan kesemua jawatan tertinggi sayap PAS itu dipertandingkan apabila penyandang pada sesi lalu tidak mempertahankan kedudukan masing-masing.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dan timbalannya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengumumkan melepaskan jawatan masing-masing dan menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Manakala penyandang Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob turut tidak akan mempertahankan jawatannya apabila berhasrat bertanding jawatan timbalan ketua.

Bagi jawatan ketua pemuda, pemilihan kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara Ketua Pemuda PAS Putrajaya, Kamarulzaman Muhammad; Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan peguam PAS, Zulhazmi Sharif.

 
Muhammad Khalil Abdul Hadi 
 
Sementara itu bagi jawatan timbalan dan naib ketua, masing-masing menyaksikan saingan satu lawan satu.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda menyaksikan Ketua Pemuda PAS Marang, Muhammad Khalil Abdul Hadi mencabar Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Sementara itu bagi jawatan Naib Ketua Pemuda menyaksikan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khirudin, menentang peguam PAS, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Berdasarkan ketiga-tiga jawatan tertinggi yang dipertandingkan itu, jawatan timbalan ketua dilihat lebih mencuri tumpan apabila membabitkan wakil tunggal kumpulan ulama menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini.

Pada pemilihan ini, enam daripada tujuh yang dicalonkan bertanding bagi mengisi jawatan ketua, timbalan ketua dan naib ketua mempunyai latar belakang dalam bidang profesional.

Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob

Wakil tunggal kumpulan ulama yang mencuba nasib bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS ialah Muhammad Khalil yang juga merupakan anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jawatankuasa Pemilihan PAS menjangkakan keputusan bagi Dewan Pemuda PAS akan hanya diumumkan lewat malam khamis.

BERIKUT SENARAI CALON DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat 1. Kamarulzaman Muhammad (Ketua Pemuda PAS Putrajaya)
2. Suhaizan Kaiat (Ketua Pemuda PAS Johor)
3. Zulhazmi Sharif (Peguam Pas)

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat 1. Muhammad Khalil Abdul Hadi
2. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat 1. Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi
2. Mohd Khairul Nizam Khairuddin

Tiada ulasan: