Umno punca Melayu semakin liberal  
 
AJK Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik antara calon yang akan bertanding sebagai Naib Presiden Pas Pusat pada 22 November ini. -Foto Sinar Harian Online-Nizam Zain
 
 
KUALA LUMPUR - Calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik mendakwa Umno-BN telah menyebabkan orang Melayu kini semakin liberal hingga menyebabkan pembangunan sosioekonomi golongan itu kian terpinggir.

"Masyarakat sedar bahawa sesetengah keadaan orang Melayu kini seolah-olah menjadi semakin liberal, fahaman mereka semacam sekular.

"Polisi BN tidak mengembalikan kepada teras membangun jati diri orang Melayu dari segi akhlak, ekonomi bahkan politik pun orang Melayu kalau diharapkan kepada Umno makin lama akan jadi teruk," katanya kepada pemberita di Pusat Media, Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas motif sebenar beliau ingin memperkasakan Pas dalam mengukuhkan sokongan Melayu dan bukan Melayu menerusi pembangunan masyarakat dan sosio-ekonomi.

Tambah beliau, BN juga masih gagal mengembalikan jati diri orang Melayu khususnya dalam penguasaan ekonomi yang terjejas terus sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971.

"Sebenarnya orang Melayu mengharapkan peranan Pas dalam pembangunan sosioekonomi.
 
"Orang Melayu memang sedar bahawa kerajaan BN dan Umno tidak banyak membantu.
 
"Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejak awal 70-an, ketika DEB dimulakan sampai sekarang tidak ada lonjakan peratus yang banyak dari segi ekuiti Melayu," dakwanya.
 
Ditanya tentang peranan Pas juga gagal membetulkan keadaan itu, beliau menafikan dan menegaskn kepincangan itu menyebabkan Pas muncul dalam arena politik negara ini.