Datuk Abdul Ghapur Salleh  
 
Datuk Abdul Ghapur Salleh


TAWAU - Umno Kalabakan akan mengemukakan surat bagi tindakan ke atas 14 anggota jawatankuasa Wanita Umno bahagian itu yang melepaskan jawatan pada 15 Oktober untuk menghadapi jawatankuasa disiplin parti.

Ketua Bahagiannya Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata Umno Kalabakan berpendapat mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke jawatankuasa disiplin demi kebaikan parti.

"Umno Kalabakan akan mengemukakan perkara ini kepada jawatankuasa disiplin parti. Semua yang terlibat perlu dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita sebelum memulakan mesyuarat kali pertama Umno bahagian itu di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan mesyuarat khas pemilihan Wanita Umno Kalabakan akan diadakan Sabtu ini bagi mengisi 14 kekosongan anggota jawatankuasanya.

Ghapur berkata mesyuarat pada Sabtu ini akan diadakan di SK Kukusan di sini bermula pukul 8  pagi dan pemilihan itu tidak perlu diragukan kerana ia adalah sah.

"Ahli wanita dinasihatkan agar hadir pada mesyuarat Sabtu ini bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan termasuk tindakan disiplin," katanya.

Justeru itu, katanya, badan perhubungan Umno negeri dan jawatankuasa pemilihan Umno negeri diminta memantau perjalanan pemilihan itu.

Wanita Umno Kalabakan menjadi tumpuan apabila 14 AJK pergerakan itu meletak jawatan beberapa hari selepas pemilihan atas alasan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan tersebut.

Dalam pemilihan itu, penyandang Ketua Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samat tewas kepada Naib Ketuanya Cahaya Sulaiman. - Bernama