Sabtu, 30 November 2013

Tidak tahu membezakan diantara menghilangkan sakit dengan mengubati penyakit

ASPAN ALIAS


Negara menghadapi kekeliruan dalam semua hal. Dalam masa yang sama kita bergegar-gegar bercakap untuk menjadi negara maju. Apa yang dimaksudkan sebagai negara maju tidak pula kita ketahui. Tetapi kalau dipandang dari satu sudut, negara mahu kepada mereka ini ialah sebuah negara yang mempunyai bangunan yang tinggi-tinggi, tiang bendera yang tertinggi didunia dan jambatan yang panjang-panjang. Ia juga termasuk gong yang terbesar yang pernah tersergam di Angkasapuri pada suatu ketika dahulu.

Kepada setengah pihak dan kepimpinan, bangunan pusat pentadbiran yang terbesar dalam dunia. Putrajaya merupakan kejayaan nasional. Putrajaya merupakan komplek yang sedikit kecil dari komplek pentadbiran kerajaan di Abuja, Nigeria, di sebuah negara Afrika yang kini telah menjadikan negara itu hampir kekeringan kewangannya kerana menyelenggara pusat pentadbiran itu.

‘Nation building’ itu mungkin juga dengan mengadakan jalan dan lebuhraya yang indah dan cantik serta mengadakan infrastruktur yang kelas pertama dalam dunia dan pemimpin-pemimpin nya yang kaya raya dengan jet-jet peribadi dan perkara yang setaraf dengannya. Bagi setengah diantara mereka jika sudah mendapat kemajuan seperti itu maka itulah kejayaan sebagai pembawa pembangunan apa yang dinamakan sebagai ‘nation building’.

Tidak pernah terfikir oleh kerajaan yang memimpin bahawa pembangunan negara itu merupakan ruang lingkup yang sangat besar, dan bukan setakat melihat pembangunan fisikal yang boleh dipandang dan dipegang sahaja. Pembangunan fisikal ini merupakan satu elemen yang ‘fractional’ sahaja dalam definasi ‘nation building’ itu. Tetapi itulah yang dianggap oleh kepimpinan kita dan mereka yang bersekongkol dengan mereka sebagai definasi ‘nation building’ itu.

Maka wujud lah rakyat yang berlumba-lumba mencari kekayaan sebagai tanda aras tahap sosial mereka yang tidak ada batasnya sehinggakan dari seorang kampung yang sederhana, wujud sikap berlumba-lumba terbang kesana kemari dengan jet-jet eksekutif misalnya, tetapi tidak pula menilai moral tindakan mereka itu. Mereka ini hanya dilihat sebagai seorang ‘maharajah’ setelah mempunyai pengaruh dalam politik melalui persahabatan secara kroni atau melalui perkahwinan dua insan yang berpengaruh dengan kuasa.

Bagi pemimpin yang sudah tersedia sebagai seorang dari keluarga yang tahap sosialnya tinggi, tidak akan tergamak melakukan tindakan yang menjadi bahan jenaka kepada masyarakat ramai yang memerhatikannya. Mereka yang sudah tersedia hidup dari kecilnya sebagai bangsawan yang asli, tidak akan melakukan tindakan yang menjolok mata rakyat kerana mereka selalunya hidup secara sederhana dan kehidupan mereka adalah ‘natural’ sebagai orang yang bertahap sosialnya tinggi dari zaman mudanya.

Di sini kerajaan dan pimpinan gagal samasekali untuk membina masyarakat yang seimbang kehidupan mereka kerana mereka menyangka dan berpendapat mereka adalah pilihan Tuhan yang boleh bersikap apa sahaja caranya. Mereka menganggap membangunkan negara hanya dengan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang sejemput setiap kali pemberian yang di buat. Dalam pada itu wujud projek yang tidak di perlukan tetapi projek-projek ini semuanya adalah ‘crony motivated projects’ yang menjadi cara rasuah yang dilakukan secara sistematik sejak lama dahulu.

Mereka mentadbir negara seperti orang menampal kain koyak dan berlubang-lubang. Di mana berlubang di situ ditampal. Mana yang putus di situ disambungnya. Mereka hanya memberikan ubat tahan sakit, tetapi penyakitnya tidak diubati. Penyakit-penyakitnya sampai kehari ini masih terbiar dan mereka tidak pun tahu apa penyakit yang dihadapi rakyat yang ramai.

Apabila telinga yang sakit diberinya panadol, bila mata rasa sakit diberikan kita dua butir panadol, begitu juga apabila kita menghadapi sakit tengkuk, tiada yang lain selain dari memberikan panadol. Tetapi penyakit darah tinggi yang dihidapi mereka yang menyebabkan sakit di telinga, dimata dan di tengkuk itu tidak diubati.

BRIM diberikan sedikit-sedikit, apabila hendak sampai hari raya diberikannya duit raya sejemput dan apabila sampai kepenghujung tahun diberikannya seratus ringgit untuk menambah bantuan membeli buku. Tetapi kemiskinan rakyat tidak terurus sampai ke hari ini. Rakyat sentiasa dijadikan sebagai umpan untuk menambah kekuasaaan mereka.

Pemimpin tidak tahu membezakan diantara sakit dengan penyakit. Negara yang kayaraya tidak dapat membantu rakyat dengan kesusahan mereka  Negara kita negara pengeluar minyak yang termaju, tetapi hasil syarikat minyak negara diperguna oleh keluarga pemimpin tertentu untuk mengaut segala hasilnya sedangkan penubuhan syarikat minyak nasional itu tidak lain untuk membangunkan ekonomi rakyat yang ramai.

Negara-negara maju seperti negara Scandinavia tidak ada minyak dan apa-apa hasil bumi, tetapi pendapatan per kapita mereka melebihi per kapita pendapatan negara maju G8. Di negara tersebut tidak kita kenal pun siapa pemimpin mereka di peringkat antarabangsa, tetapi di sini pemimpin-pemimpin kita leka dengan pujian seperti pemimpin dunia ketiga dan entah apa lagi.

Malahan keluarga seperti isteri dan anak-anak mereka memperguna wang rakyat untuk kesoronokan dan kebanggaan peribadi. Bukan sahaja pemimpin kita dikenali, isteri mereka pun terkenal seantero dunia. Pemimpin kita leka dengan ‘glamour’ dan itulah dia bukti kegagalan kita untuk membina mentaliti rakyat bersesuaian dengan kemajuan dunia ini.

Mentaliti ini seolah-olah sama seperti mentaliti rakyat negara-negara Afrika maka tidak terkejut ada cendiakawan negara ini menganggapkan Malaysia seperti ‘Zimbabwe in different name’ suatu ketika dahulu.

Entah bila kita akan sampai ketahap pemikiran dan penilaian rakyat negara maju tidak siapa dapat mengagaknya. Yang pasti jika masih lagi ‘set’ pimpinan yang ada pada hari ini sampai bila-bila kita tidak akan sampai ketahap negara maju. Kita hiduplah dengan budaya songsong seperti yang kita semua lalui pada hari ini.

Itu sebab retorik Najib dan kepimpinan negara bercakap tentang matlamat pencapaian negara maju menjelang 2020 itu hanyalah merupakan mimpi di siang hari dan kita tidak akan kemana-mana. Kita akan tetap duduk dan tinggal ditahap ini sampai semua pimpinan yang ada hari ini dapat diketepikan.

Kalau dilihat pada keadaan hari ini ia amat susah hendak dilakukan kerana rakyat ramai termasuk ahli-ahlu parti politik negara amat seronok memberikan sokongan kepada pemimpin yang menipu mereka yang tidak mempunyai apa-apa kemampuan.

Ada perbilangan orang Melayu, ‘bukan salah ibu mengandung’ tetapi mereka sengaja hendak dan bersoronok hidup dalam penipuan pimpinan terhadap mereka.

Tiada ulasan: