Calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik  
Datuk Abu Bakar Chik


KUALA TERENGGANU - Calon Naib Presiden Pas, Datuk Abu Bakar Chik menganggap tiada sebarang usaha daripada mana-mana pihak dalam parti itu yang mahu membubarkan Majlis Syura Ulama sebagaimana digembar-gemburkan dalam laman Facebook baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat berkata, sekiranya perkara itu wujud, sudah tentu terdapat usul daripada pihak tertentu ke peringkat jawatankuasa Pas Pusat bagi memastikan Majlis Syura Ulama terbubar.

“Kalau mahu dibuat perubahan mengenai perkara sedia ada dalam perlembagaan, mesti dibuat pindaan dalam perlembagaan. Maka pindaan itu biasanya dibawa usul dahulu, sekarang tiada usul lagi.

“Jadi, saya tidak nampak ada mana-mana unsur mansuhkan Majlis Syura Ulama, mungkin ia hanya dalam Facebook sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di Markaz Tarbiyah Pas Kubang Lembek, Manir,.

Dalam laporan Jumaat lalu, sebuah laman sosial Facebook mendedahkan terdapat usaha licik dilakukan pihak tertentu untuk menghapuskan Majlis Syura Ulama.

Menurut laporan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat didakwa tidak mematuhi keputusan ditetapkan majlis itu dan mereka seolah-olah mengambil langkah ‘menutup mata’.

Bagaimanapun, Abu Bakar tidak menolak keperluan mengekalkan atau tidak Majlis Syura Ulama yang dianggotai seramai 15 ahli itu pernah dibincangkan secara akademik sebelum ini.