Ahad, 24 November 2013

'Tiada Islam liberal, Islam ortodoks dalam PAS'

 

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta anggota parti itu agar berwaspada dengan usaha Umno untuk memecah-belahkan perpaduan mereka seperti menimbulkan dakwaan perbezaan akidah di kalangan para pemimpin PAS.

Beliau mendakwa, tuduhan seperti itu ditimbulkan oleh Umno, sedangkan kalangan ahli PAS hanya berbeza dari segi latar belakang dan pendidikan dan bukannya dari segi akidah.

pas muktamar 231113 mat sabu hadi awang"Syariah Islam tidak ada khilaf (silap) di kalangan ahli pas, semua bersatu di atas satu pentas.

"Tiada dalam PAS, Islam liberal, Islam Ortodhox atau Islam Protestan. Jangan dengar pandangan orang luar. Yang lihat agama ni Ulama," kata Abdul Hadi dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam.

Menurutnya lagi kepelbagaian dalam latar belakang ahlinya juga boleh dilihat sebagai kekuatan dan petanda bahawa PAS mempunyai pelbagai kelebihan dan lebih menyeluruh untuk ditawarkan kepada masyarakat.

"Kita boleh bentuk kepimpinan kolektif secara jemaah mempunyai pelbagai kepakaran," kata beliau yang mengumpamakan perjuangan dan penyatuan PAS sebagai sekumpulan kelasi bersama meredah gelombang dalam satu bahtera.

Katanya setiap anak kapal tersebut berperanan membolehkan bahtera itu berlayar dengan selamat.

"Kadang-kadang saya bimbang orang kita mabuk dengan gelombang. mabuk jangan sampai terjun bahtera.

"Ada yang terjun tetapi tak selamat walau dia Ulama," kata beliau merujuk kepada beberapa pemimpin yang keluar dari parti tersebut sebelum ini.

Tiada ulasan: