Asmuni Awi
 
KUALA LUMPUR - Tiada had umur dikenakan bagi mana-mana calon yang ingin bertanding bagi jawatan Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda Pas pada pemilihan parti itu 22 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi berkata, hanya bagi jawatan Naib Ketua dan AJK Pemuda sahaja yang disyaratkan tidak melebihi had kelayakan umur 40 tahun ke atas.

"Dalam Dewan Pemuda Pas, untuk jawatan ketua dan timbalan ketua tidak ada had umur, sebab sebelum ini pun kesemua ketua Pemuda lebih 40 tahun.

"Cuma untuk jawatan naib ketua dan ke bawah itu mestilah 40 tahun ke bawah, jika 40 tahun 1 hari pun tidak layak," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut had kelayakan umur bagi jawatan tertinggi Dewan Pemuda Pas apabila penyandang Timbalan Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih dicalonkan walaupun umurnya telah melebihi 40 tahun.
 
Pemilihan Pas bagi AJK Pas Pusat dan tiga sayap parti itu akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini di empat lokasi berasingan di Selangor.
 
Bagi AJK Pas Pusat, pemilihan akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam manakala ketiga-tiga sayap parti itu pula masing-masing di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor (Dewan Muslimat Pas); Dewan Bankuet MBSA (Dewan Ulama Pas) dan Dewan Sivik MBPJ (Dewan Pemuda Pas).
 
Manakala perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 pula akan diadakan pada 20 November mulai jam 9 malam.
 
Seramai kira-kira 1,300 perwakilan Pas dari seluruh negara akan menyertai pemilihan AJK Pas Pusat dan muktamar itu bagi memilih pucuk pimpinan parti itu bagi sesi 2013-2015.