Shahidan Kassim  
 
Shahidan Kassim

ROMPIN - Datuk Seri Shahidan Kassim tetap mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulangkan semula wang denda RM39,000 yang telah dibayarnya atas kesalahan melanggar Artikel 88 badan itu, Februari lepas.
  
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu berkata, wang denda itu perlu dikembalikan berikutan undang-undang tersebut kini dimansuhkan oleh badan induk bola sepak negara itu.
  
Pada 20 Februari lepas, FAM telah mengenakan hukuman gantung dua tahun setengah dan denda RM39,000 terhadap Shahidan atas kesalahan melanggar Artikel 88 kerana didapati mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menentang dan menjatuhkan kredibiliti badan itu.
  
"Saya telah dihukum oleh FAM dengan menggunakan Artikel 88, tetapi undang-undang tersebut kini telah dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Murni, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.
  
"Jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu apabila dimansuhkan, semua orang yang ditahan di bawah ISA terus diampunkan dan mereka dibebaskan.

"Dan duit saya itu bagilah balik, duit itu duit anak yatim dan saya tak nak FAM makan duit anak yatim sebab saya sudah niatkan untuk sedekahkan duit itu kepada anak yatim," kata Shahidan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
  
Pada 19 Ogos lepas, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa individu yang dihukum atas kesalahan melanggar Artikel 88 di bawah Statut FAM 2010-2014, tiada hak menuntut kembali wang denda yang dibayar mereka.
  
Katanya, hukuman ke atas individu terbabit termasuk denda terhadap mereka di bawah Artikel 88 kerana mengkritik FAM sebelum ini, adalah kekal walaupun badan induk kebangsaan itu membuat keputusan meminda artikel berkenaan.
  
Shahidan mendakwa, sebelum ini beliau pernah membuat tuntutan itu setelah FAM mengumumkan akan meminda Artikel 88 pada Kongres Tahunan FAM, 17 Ogos lepas.
  
"Saya tidak dimaklumkan berhubung kedudukan sebenar saya selepas pindaan itu dibuat dan tiada pula berita yang menyatakan saya terselamat daripada hukuman penggantungan," katanya.   - Bernama