Isnin, 4 November 2013

Sg Limau: SPR dan SPRM tidur, rasuah berleluasa

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekesalan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi 'kayu mati' yang gagal menghalang rasuah pilihan raya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

“Pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

Tambahnya, SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan bodoh yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau lagi, kegagalan Malaysia untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar telah jadi bahan ketawa pemerhati asing.

Kini, ujarnya  ia telah menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka.

Beliau menambah, bila mana kekuasaan diperolehi melalui rasuah dan salah guna kuasa, bagaimana pemimpin tersebut akan tampil menentang rasuah.

Mustahil  berlaku

Akibatnya, kata Tuan Ibrahim rasuah semakin membesar dan kini menjadi barah dalam setiap sektor.

Tambah beliau lagi, ternyata perubahan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM hanyalah sekadar penukaran botol tapi isinya masih sama, kerana pemimpin yang rasuah tidak akan menggubal peraturan dan undang-undang bagi mencegah rasuah, dan agensi yang diamanah pula terikat dengan peraturan yang ada.

“Ada yang berkata rakyat akan berubah apabila pemimpin berubah. Tapi bagi PAS, pemimpin akan berubah kalau rakyat berubah.

“Budaya salah guna jentera kerajaan untuk kempen BN akan berhenti jika rakyat ambil pendekatan tidak menyokong penyalahgunaan sebegini,” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau berharap para pengundi Dun Sungai Limau dapat menghantar isyarat jelas menolak calon BN bagi menyatakan tentangan mereka kepada amalan rasuah.

Tiada ulasan: