Sabtu, 2 November 2013

Sempena Deepavali, “buah tangan” BN juga turun di Sungai Limau

Oleh Md Izwan
Deretan orang ramai dan kenderaan yang menuju ke lokasi program anjuran BN. 


Deretan orang ramai dan kenderaan yang menuju ke lokasi program anjuran BN.Sambutan Deepavali hari ini juga dirasai penduduk Sungai Limau apabila kemeriahannya ditambah dengan pemberian "buah tangan"  oleh Barisan Nasional (BN)kepada para penduduk sekitar.

Kurang daripada tempoh 48 jam hari membuang undi Isnin ini, jentera kerajaan juga rancak dalam mengagihkan pelbagai barangan  yang terdiri daripada topi keledar berwarna biru, baju dan juga kasut kepada penduduk yang mengunjungi program-program anjuran  BN di sini.

Pemerhatian wartawan The Malaysian Insider mendapati, jalan raya menuju ke pekan Sungai Limau dan Dulang Besar (salah satu  mukim dalam Sungai Limau) sesak dengan kenderaan sejauh 10 kilometer yang berpusu-pusu ke lokasi tersebut.

 Terdapat lokasi dan pegawai bertugas mengedarkan "buah tangan" tidak jauh beberapa ratus meter daripada Sekolah Menengah  Kebangsaan Dulang di sini.

Barangan seperti kasut dan t-shirt diberi kepada setiap pengunjung yang hadir.Barangan seperti kasut dan t-shirt diberi kepada setiap pengunjung yang hadir. 


















"Adalah kasut dan t-shirt," jawab seorang pengunjung yang membawa sama barangan keluar daripada tempat program tersebut.

Barang-barang yang diedarkan mempunyai logo 1Malaysia dan juga gambar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Tidak jauh daripada tempat pengedaran "buah tangan" tersebut, jentera BN juga menganjurkan satu perhimpunan anak muda untuk  memancing sokongan pengundi yang dianggap sebagai penentu pada pilihan raya kecil kali ini.

Perhimpunan tersebut akan bermula sekitar jam 6 petang dan berakhir 11 malam, dimana cabutan bertuah dan persembahan  komedi juga menjadi daya tarikan para pengundi.

Pengunjung juga akan diberikan jamuan percuma sepanjang lima jam karnival tersebut diadakan.
Semalam, PAS dalam satu sidang media mendakwa kerajaan BN berbelanja sebanyak RM15.15 juta sepanjang tempoh  berkempen Pilihan Raya Kecil Sungai Limau.

Menurut Pesuruhjaya PAS negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar jumlah keseluruhan perbelanjaan tersebut diperoleh menerusi  pengumuman projek dan bantuan oleh pemimpin BN di Sungai Limau
.
Perbelanjaan tersebut antaranya ialah peruntukan RM5.5 juta kepada sekolah menengah agama;
RM1.2 juta kepada 12 buah sekolah lain;  program Bantuan Azam Tani Mara (RM802,700); bantuan zakat Agrobank (RM19,700); pinjaman Tekun (RM30,000); peruntukan masjid Simpang Empat (RM300,000); sumbangan kepada guru KAFA dan 33 masjid lain (RM118,000); bantuan baiki rumah (RM1 juta); pemberian cermin mata (RM1.18 juta); peruntukan jeti perikanan (RM500,000); peruntukan tukun tiruan (RM2.5 juta); dan RM2 juta untuk peruntukan Sekolah Jenis  Kebangsaan Cina.

Selain itu, Mahfuz juga mendakwa sumbangan dalam bentuk anak pokok, baja, anak ayam, buku agama, set pembesar suara,  minyak masak dan sabun mandi juga diberikan kepada penduduk kampung sekitar Sungai Limau.

Tiada ulasan: