Jumaat, 15 November 2013

Salahudin mahu bawa PAS lebih inovatif dan dinamik

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Berhasrat untuk terus memposisikan kedudukan PAS di pentas politik tanah air dan bersaing dalam menentukan masa depan politik negara, Salahuddin Ayub berikrar akan meneruskan apa yang sudah dilakukannya jika terpilih sekali lagi dalam muktamar kali ini sebagai naib presiden.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini Salahuddin berkata peranan beliau membina 'jambatan' bagi menghubungkan PAS dengan dunia luar itu perlu diperkukuhkan dan dianjakkan lagi bagi memastikan PAS sebagai sebuah parti progresif, inovatif dan dinamik.

"Bagi saya, PAS sebagai parti yang berdasarkan Islam ini mesti perlu progresif, inovatif dan dinamik bagi memposisikan diri sebagai sebuah parti yang dapat bersaing dalam suasana politik masa depan negara," tegas beliau.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berpendapat PAS perlu muncul untuk jadi parti terkuat, yang merupakan satu lonjakan baru yang perlu didokong bersama yang turut akan dibina kelak.

Pada pemilihan PAS kali ini, jawatan Naib Presiden PAS menyaksikan pertandingan lima penjuru bagi memilih tiga daripadanya untuk penggal 2013-2015.

Selain Salahuddin, dua penyandang lain iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa turut mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut bertanding untuk jawatan tersebut.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Nov, bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Tiada ulasan: