Jumaat, 22 November 2013

Rakyat Malaysia Jadi Hamba Selama 30 Tahun di London

Aneeta Prem dihubungi oleh mangsa selepas mereka melihat sebuah dokumentari yang memaparkan mengenai Freedom Charity di televisyen.

MSTAR ONLINE

 
LONDON: Seorang wanita berusia 69 tahun diselamatkan daripada menjadi hamba domestik di sebuah rumah di sini selama lebih 30 tahun.

Turut diselamatkan seorang wanita warga Ireland berusia 57 tahun dan wanita warga Britain berusia 30 tahun yang telah ditahan sejak dari zaman kanak-kanak di Lamberth lapor Sky News, saluran berita yang berpangkalan di United Kingdom.

Kesemua mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan berada dalam keadaan trauma telah di bawa ke satu tempat yang selamat.

Saluran berita itu menambah dua orang daripada mereka, seorang lelaki dan wanita yang mana kedua-duanya berusia 67 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kerana terlibat dengan aktiviti perhambaan domestik.

Sementara itu, AFP memetik Scotland Yark, sebagai berkata polis menyerbu rumah berkenaan selepas menerima laporan daripada Freedom Charity.

Persatuan tersebut berkata salah seorang daripada mangsa menghubungi mereka dan mendakwa dia telah dijadikan hamba dan haknya untuk bergerak bebas telah disekat oleh dua individu.

Freedom Charity merupakan sebuah persatuan yang membantu golongan muda memahami apa itu paksaan dalam perkahwinan serta keganasan dalam rumah tangga.

Polis berkata mangsa menghubungi persatuan tersebut selepas menonton dokumentari di televisyen yang memaparkan kerja-kerja amal yang dilakukan oleh persatuan berkenaan.

Pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem memberitahu media Britain bahawa wanita warga Ireland berusia 57 itu telah menghubungi persatuan itu.

"Saya rasa mereka semua melihat saya dalam berita dan membuat keputusan untuk menghubungi kami kerana dalam rancangan tersebut saya memberi galakan supaya mereka menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan," kata Prem merujuk kepada panggilan yang dibuat oleh mangsa.

Dia menyifatkan layanan yang diterima mangsa sebagai ‘tidak berperikemanusiaan’.

Dia turut mendakwa wanita berkenaan turut mengalami penderaan fizikal dan emosi.

“Saya percaya jiran mereka tidak tahu langsung apa yang berlaku. Tempat mereka tinggal hanya rumah biasa yang terletak di tepi jalan.

"Mereka hidup dalam bahaya. Mereka disediakan bilik yang boleh digunakan namun mereka sangat terkongkong dan apa yang mereka boleh lakukan serta mereka tidak boleh keluar daripada pintu hadapan.

"Ia sangat luar biasa sekiranya seseorang itu berada dalam situasi yang mereka alami. Ia satu cerita yang menakjubkan,” kata Prem kepada Daily Mail.

Detektif Unit Pemerdagangan Orang, Polis Metropolitan, Kevin Hyland memberitahu BBC: "Kami telah menyiasat beberapa kes seperti ini, di mana seorang individu pernah disembunyikan selama 10 tahun, namun kami tidak pernah melihat kejadian menyedihkan seperti ini."

Beliau menambah wanita berkenaan banyak menghabiskan masa di dalam rumah kerana ada pihak yang mengawal kebebasan mereka. Hyland turut memuji tindakan Freedom Charity kerana bekerjasam dalam membantu mangsa.

"Kami sedang menjalankan siasatan meyeluruh bagi melengkapkan siasatan berhubung tuduhan yang amat serius ini,” katanya.

Pegawai berkenaan berkata kedua suspek, yang didakwa sebagai ‘ketua keluarga’ telah di bawa ke balai polis di selatan London untuk soal siasat.

Tiada ulasan: