Isnin, 18 November 2013

PRK: Apa dan bagaimana selepas menang?

Ahmad Lutfi Othman,



 Gambar: Calon-calon Pro-M (Transformasi Mahasiswa) di UUM menang besar untuk kerusi Umum tetapi dinafikan jawatan kanan dalam pembentukan kabinet majlis perwakilan pelajar (MPP).



Kontroversi proses pilihan raya kampus masih jauh daripada penyelesaian. Sebelum hari mengundi, pelbagai kaedah dan taktik licik digunakan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi memberikan kemenangan mudah kepada calon Aspirasi pro-BN.

Bermula dengan tarikh-tarikh penting PRK yang dipilih HEP untuk menyukarkan kempen  kumpulan Pro-Mahasiswa, diikuti peraturan karut-marut dan kaedah e-voting yang boleh dimanipulasi. Peruntukan kerusi, sama ada untuk Umum atau Fakulti, juga dibuat dengan motif untuk memenangkan Aspirasi.

Malah apabila keputusan rasmi diumumkan, HEP masih berpeluang untuk menaja calon yang dikehendakinya bagi mengisi jawatan strategik, khususnya presiden, seperti berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Walaupun Pro-M menang dengan majoriti besar di UIAM, melalui muslihat Timbalan Rektor HEP, Dr Mizan Hitam, calon Pro-M (Wufi) tidak berpeluang dilantik presiden SRC. Mujur, Rektor, Prof Zaleha Kamarudin, menunjukkan jalan keluar, dan diharap pemilihan baru dapat dibuat secara demokratik dan telus.

Merujuk kategori kerusi, agak pelik juga apabila pemenang kerusi Umum, iaitu yang dipilih oleh semua mahasiswa tidak kira fakulti, langsung tidak mempunyai keistimewaan untuk menduduki posisi kanan, seperti presiden, timbalan atau naib presiden, setiausaha dan bendahari.

Anggapan bahawa kerusi Umum seumpama Parlimen dan kerusi fakulti seperti Dewan Undangan Negeri ternyata salah.

Selalunya majoriti pemenang kerusi Umum adalah calon-calon mewakili Pro-M. Dalam kes di UUM misalnya, lima daripada lapan kerusi Umum yang dipertandingkan telah dimenangi Pro-M, walaupun mereka belum berjaya meraih majoriti daripada semua kerusi yang dipertandingkan.

Namun begitu, semasa proses pembentukan kabinet majlis perwakilan pelajar UUM dibuat, yang dikendalikan oleh HEP, tiada seorang pun wakil Pro-M (Transformasi Mahasiswa), termasuk lima calonnya yang menang kerusi Umum, yang dipilih ke jawatan kanan.

Sepatutnya rundingan dan penyelarasan awal dibuat, terutama dalam kes tiada pemenang yang nyata seperti di UUM, agar semua pihak (Aspirasi, Pro-M mahupun selain daripada kedua-dua kelompok ini) diberi kedudukan sewajarnya dalam jawatan strategik.

(Saya sendiri berpengalaman dalam kes serupa itu di UTM pada sesi 1984/85 apabila tiada kumpulan menang dengan majoriti dua pertiga. Pada mulanya mesyuarat pertama tidak dapat dijalankan kerana kumpulan minoriti tidak bersedia hadir, bimbang keputusan menentukan jawatan penting dibuat dengan suara majoriti, yang tentunya menyebabkan mereka tidak mendapat tempat. Persetujuan dibuat di luar mesyuarat supaya kedua-dua kumpulan berpuas hati. Saya masih ingat, jawatan presiden diserahkan kepada kumpulan Pro-PAS dan timbalannya kepada Pro-Umno!)

Malah ada kampus tertentu yang tidak menyediakan langsung kerusi Umum disebabkan HEP merasakan calon Aspirasi sukar memenanginya. Dari segi populariti, jelas calon Pro-M jauh ke depan.

Secara peribadi, saya gembira dengan trend politik kampus yang lebih terbuka apabila mahasiswa semakin berani bersuara, tidak gentar untuk meluahkan pendapat, berinovasi tinggi menggerakkan persatuan dan bersedia untuk bertembung pentadbiran universiti jika mereka yakin berada di pihak yang benar.

Malang sekali apabila HEP masih bermentaliti lapuk, ketinggalan zaman dan hanya mencetuskan suasana permusuhan sesama pelajar apabila mengamalkan pilihan kasih yang keterlaluan.

Cuma, kepada pihak yang menang, jangan hanya bertungkus-lumus semasa kempen PRK tetapi mengabaikan amanah selepas dipilih. Ataupun hanya aktiviti kemahasiswaan hanya tertumpu kepada skop kebajikan yang sempit dan kurang peduli dengan lingkungan.

Sedangkan gerakan pelajar yang terkenal dengan "tradisi mencabar" sentiasa dikaitkan dengan isu-isu kritikal dalam masyarakat, tidak terkecuali pergolakan dunia antarabangsa. Mereka menjadi jurubicara umat, yang resah dengan gelodak rasa golongan bawahan atau kelompok yang dipinggirkan.

Sebenarnya isu-isu kemiskinan seperti Telok Gong (1967), Tasik Utara (September 1974) dan Baling (Disember 1974) masih wujud pada hari walaupun dalam versi berbeza. Apakah isu bahasa kebangsaan (1966-70) sudah dianggap selesai?

Tentu sekali siri demonstrasi isu global, seperti pengeboman Amerika ke atas Hanoi (1966), pencerobohan Soviet ke atas Czechoslavakia (1968), membantah lawatan PM Thailand Thanom Kittikachorn (1971) cukup relevan dengan situasi kacau dunia hari ini.

Malah, tanpa terlalu merujuk dengan dokumen lama, segala konflik dan krisis mutakhir, termasuk yang membungkus dunia kampus sendiri sudah terlalu mendesak untuk ditangani mahasiswa, dengan kebulatan tekad dan kesepaduan suara.

Ya, sekurang-kurangnya, Pro-M sudah menang di UKM dan UIAM; saya amat mengharapkan mereka dapat menunjuk jalan bagaimana majlis perwakilan pelajar kedua-dua kampus ini dapat diuruskan sebaiknya.

Tiada ulasan: