Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar  
 
Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
 
SHAH ALAM – Majlis Peguam Malaysia tidak sepatutnya mencampuri sebarang hal ehwal keagamaan di negara ini jika badan itu mahu menjadi sebuah badan yang sekular khususnya dalam menyatakan pendirian berhubung penggunaan kalimah ALLAH tanpa mendapat kata sepakat daripada suara majoriti ahli badan itu.

Presiden Persatuan Peguam Muslim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya kesal dan menyifatkan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong pada Isnin lalu sebagai bertentangan dengan pendirian mereka berkenaan kalimah ALLAH.

“Tiada apa-apa untuk sesiapa takut kepada mana-mana pihak dalam memberikan hujah undang-undang mereka di mahkamah.

“Itu bukan isunya. Isunya ialah apa asas undang-undang yang boleh Peguam Malaysia isytiharkan pendiriannya mengenai isu berkaitan dengan kalimah ALLAH tanpa mengambil perhatian kepada ahli-ahli majlis Peguam Malaysia,” katanya memetik kenyataan media Majlis Peguam Muslim hari ini.

Dalam pada itu, Zainul menegaskan sekiranya benar Peguam Malaysia merasakan bahawa badan itu adalah sebuah badan sekular, badan tersebut tidak perlu mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan perkara keagamaan.

“Jika mereka (Majlis Peguam) merasakan mereka sebuah badan sekular maka badan sekular itu tidak perlu mencampuri sebarang perkara berkaitan dengan agama,” tegasnya.