Sabtu, 2 November 2013

PKR yakin ada lonjakan sokongan kepada Pas


Johari Abdul  

Johari Abdul

SHAH ALAM - Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul yakin dengan perancangan serta gerak kerja yang dilakukan membabitkan lima daerah mengundi di kawasan kubu kuat Umno akan ada lonjakan sokongan kepada Pas.

Lima daerah mengundi itu termasuklah Unit Peti Undi (UPU) Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar di mana pada PRU13 lalu, Pas mengalami kekalahan.

Memetik laporan HarakahDaily, Johari menjelaskan gerak kerja yang dilaksanakan PKR berjalan seperti yang telah dirancang.

"Strategi kita berjalan dengan lancar seperti ceramah dan juga pertemuan dengan pengundi-pengundi di semua peringkat lapisan.

"Dalam pada itu kita turut mengadakan pemeriksaan kesihatan di kelima-lima UPU tersebut dan sambutan yang kita perolehi amat memberangsangkan.

"Saya pasti dan berkeyakinan dengan apa yang kita perolehi sepanjang kempen yang hanya tinggal dua hari lagi akan ada satu lonjakan sokongan pengundi dari UPU yang dikatakan kubu kuat Umno itu," katanya pada sidang media di Markas Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, PKR akan mempertingkatkan lagi gerak kerja bagi memastikan pada PRK kali ini Pakatan Rakyat terutamanya PAS berjaya menembusi kelima-lima UPU tersebut.

Dalam pada itu, Johari turut meminta pengundi berwaspada dan bersikap matang dalam membuat pemilihan pada hari pengundian nanti apabila Umno akan menggunakan pelbagai helah termasuk memberi bantuan dan duit kepada pengundi di saat-saat akhir tempoh berkempen.

Tiada ulasan: