Ahad, 10 November 2013

PKR: Tindakan keluar parti khianati rakyat


TIAN CHUA  
 
TIAN CHUA
 
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menyifatkan tindakan Adun Matunggong Jelani Hamdan yang telah mengisytiharkan keluar parti serta meletak kesemua jawatan dalam PKR sebagai tindakan yang mengkhianati amanah rakyat Sabah.

Menurut Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang tindakan tersebut jelas menunjukkan Jelani sebagai seorang ahli politik ‘oportunis’ yang segaja mengguna isu dalaman parti bagi kepentingan diri sendiri.

“Jelani Hamdan telah bertanding atas tiket (PKR-PR) dalam PRU13 yang lalu, dan rakyat Matunggong telah jelas menyatakan kehendak mereka diwakili wakil rakyat PR di Dun Sabah.

“…tetapi tindakan Jelani Hamdan, yang telah mengisytiharkan beliau keluar parti dan meletak kesemua jawatan dalam PKR hari ini sekali lagi menunjukkan tindakan pengkhianat amanah rakyat Sabah,” katanya memetik kenyataan PKR hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh hal yang sama, menurut Chua, peletakan jawatan  Jelani ini akibat daripada perasaan tidak puas hati beliau akibat lantikan kumpulan etnik pelbagai kaum dalam Majlis Pimpinan Negeri.
 
“Kenyataan yang beliau pernah bangkitkan tentang isu ini merupakan bukti proses rundingan dan konsultasi yang terus diadakan. Pandangan beliau dan pelbagai pihak yang lain telah diterima dan dipertimbang.
 
“Dalam pertemuan saya dengannya dan juga pelbagai pihak yang lain, saya menegaskan PKR adalah sebuah parti politik pelbagai kaum, dan usaha mewujudkan konsensus mengambil masa dan usaha ikhlas dari semua pihak.
 
“Saya telah menjelaskan kepada beliau saf pimpinan negeri terdiri dari kesemua pemimpin negeri, termasuk diri beliau. Mempertimbang keperluan semua pihak merupakan tanggungjawab yang wajib dipikul keseluruhan saf pimpinan negeri Sabah,” katanya.
 
Dalam nada yang sama, tambah Chua amat tidak masuk akal kenyataan Jelani yang menerima watikah lantikan sebagai calon pilihan raya PKR namun kini berkata beliau tidak pernah menjadi anggota parti.
 
“Resit yang dipampang kepada media itulah bukti yang paling terang beliau telah menjadi anggota PKR.
 
“Dalam setiap perbincangan dengan saya malah dengan lain-lain pemimpin parti sebelum ini, isu keanggotaan beliau tidak pernah sekalipun ditimbulkan. Kini, isu ini dijadikan alasan untuk menjauhkan diri dari PKR.
 
“Menggunakan contoh Datuk Seri Panglima Wilfred adalah tidak tepat, di mana beliau bertanding sebagai APS di bawah tiket PKR atas persetujuan bahawa APS merupakan rakan bersekutu PR,” tegasnya.

Tiada ulasan: