Ahad, 24 November 2013

PKR Selangor cadang Anwar ambil alih jawatan Presiden

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Anwar berbual dengan isteri Wan Azizah di Kongres Khas Nasional PKR 2013 di Shah Alam. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 24 November, 2013. 
Anwar berbual dengan isteri Wan Azizah di Kongres Khas Nasional PKR 2013 di Shah Alam. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari,



Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari mencadangkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan presiden kerana ia sah mengikut perlembagaan parti itu.

Beliau yang juga pembahas dari Selangor dalam Kongres Nasional Khas 2013 berkata cadangan ini bagi mengesahkan ura-ura kemungkinan Anwar akan mengambil alih jawatan presiden dalam pemilihan parti itu tahun hadapan.

“Organisasi dan kepimpinan yang jelas menurut perlembagaan adalah keperluan untuk PKR mara sebagai sebuah parti masa hadapan.

“Pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui untuk membina organisasi PKR termasuk untuk memposisikan Anwar sebagai pemimpin utama PKR. Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves itu yang merupakan salah seorang daripada 16 pembahas yang berucap di kongres itu.

Kini, isteri Anwar Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan presiden PKR.

Sementara itu, pembahas dari Perak Sandrea Ng menyifatkan pemimpin PKR yang datang dan pergi dapat diatasi dengan meningkatkan disiplin pemimpin parti.

“PKR perlu mengutamakan pemimpin yang berkualiti berbanding kuantiti dalam parti. Kepada pemimpin yang telah meninggalkan parti disebabkan telah kehilangan kepercayaan, pinggan tak retak, nasi tak dingin; engkau tak hendak, aku pun tak ingin,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin yang hadir.

Setakat jam 10 pagi, 805 perwakilan telah hadir ke kongres ini bagi mengundi pindaan perlembagaan parti di mana PKR hanya memerlukan sokongan 608 perwakilan bagi membolehkan sesuatu pindaan dilakukan.

Jawatan Ketua Umum bukanlah satu jawatan rasmi yang berada dalam perlembagaan parti itu.

Jawatan tersebut diadakan kerana selepas Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun 2004, beliau berhadapan dengan halangan undang-undang untuk memegang jawatan politik selama lima tahun.

Kini Anwar sudah bebas daripada halangan undang-undang tersebut.

Tiada ulasan: