Rabu, 6 November 2013

Pilihan Raya Kecil: Yang menang dan yang kalah di Sungai Limau



Oleh Zulkifli Sulong


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar adalah orang yang paling gembira ekoran kemenangan PAS di Sungai Limau manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pula adalah pihak paling terasa kesan kegagalan Barisan Nasional mengalahkan PAS semalam. 

Sementara itu, badan penyelidik bebas Ilham Centre antara pihak yang sangat gembira dengan kemenangan ini ekoran jangkaan mereka menjelang pemilihan adalah tepat manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin pula meleset apabila jangkaan beliau BN akan menang tersasar.

Berikut adalah pihak yang menang dan kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Yang menang

1) PAS

Sudah pasti pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara paling gembira dengan kemenangan ini. Sudah tentu mereka akan membuat pelbagai kenduri-kendara bagi meraikan kemenangan ini. Pilihan raya kecil ini juga berjaya meredakan ketegangan antara pucuk pimpinan mereka ekoran pemilihan pucuk kepimpinan parti yang akan berlaku 22 hingga 24 November ini.

2) Mahfuz Omar

Beliau menjadi individu yang paling gembira dengan kemenangan PAS kali ini. Beliau baru saja mengambil alih jawatannya ini daripada allahyarham Tan Sri Azizan Razak selepas pilihan raya umum lalu ketika Azizan mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Kemenangan ini bakal menjadi modal besar kepadanya yang akan berdepan dengan pemilihan parti kerana beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden. Kalau sebelum ini beliau antara penyandang yang paling risau, kini beliau mempunyai harapan yang sangat cerah untuk menang.

3) Ustaz Azam

Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun, adalah Penolong Pengetua Sekelah Menengah Agama Bantuan Kerajaan An-Nahzah, Bukit Besar sebelum dipilih sebagai calon. Beliau tidak dikenali sebelum ini. Selepas menjadi wakil rakyat sudah tentu beliau mempunyai rutin yang berlainan selepas ini.

4) Ilham Centre

Ramalan yang dibuat oleh penyelidik bebas Ilham Centre bahawa PAS akan menang sekitar 53 - 55 peratus dalam pilihan raya ini menjadi kenyataan. Ilham mengulangi ketepatan ramalan menjelang pilihan rayanya yang dibuat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2008 lalu. Kerisauan jelas terbayang kepada Pengerusi Eksekutifnya, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila berita awal menunjukkan BN menang. Namun selepas terbukti ia hanya perang saraf BN, Hisom antara yang menang dalam pilihan raya kecil ini.

5) Penduduk Sungai Limau

Mereka menang kerana berjaya mendapat wakil rakyat yang mereka mahukan di samping mendapat segala macam daripada kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat menjelang pilihan raya lalu. Gula dijual dengan harga RM1 sekilo, beras 5kg hanya RM5 dan lain-lain lagi bantuan termasuk anak pokok mempelam, cermin mata, baja padi dan sebagainya.

Pihak yang kalah 

1) Mukhriz Mahathir

Pihak yang paling terasa apabila BN kalah dalam pilhan raya kecil ini sudah tentulah Mukhriz. Ini kerana, ia kekalahan kedua selepas beliau gagal memenangi naib presiden Umno dalam pemilihannya baru-baru ini. Mukhriz adalah orang yang paling kuat bekerja untuk mempastikan kemenangan calon BN kali ini. Beliau berada di Sungai Limau siang dan malam untuk memastikan jentera BN berjalan lancar. Di saat-saat akhir beliau membawa turun ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pengundi Sungai Limau tetap menolak BN.

2) Umno

Umno sudah tentu paling terasa apabila calonnya tewas dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana pertembungan di Sungai Limau adalah antara Umno dan musuh tradisinya PAS bukan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Kekalahan ini bererti kegagalan untuk Umno memecahkan kubu PAS di Sungai Limau padahal dalam pilihan raya umum lalu Umno berjaya menang di Parlimen Jerai dan dua lagi DUN di bawah Parlimen Jerai.

3) Dr Ahmad Sohaimi

Sudah tentu pihak yang terasa kecewa dengan kekalahan ini adalah calon BN sendiri Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Sohaimi terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pensyarah kanan di UPSI untuk menyertai pertandingan ini. Walaupun mungkin boleh masuk balik kerana semua boleh dibuat oleh Umno tetapi sudah tentu air muka beliau yang hilang.

4) Muhyidin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tentu pihak yang kalah dalam pilihan raya ini. Selaku pengarah utama pilihan raya bagi BN, Muhyiddin banyak menghabiskan masa dan tenaga beliau untuk memastikan calon BN menang. Namun apakan daya pengundi Sungai Limau menolak beliau. Sudahlah terpaksa meminta maaf daripada keluarga allahyarham Azizan kerana tersalah cakap, pilihan raya kalah pula.

5) Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah

Ini kerana, berapa banyak wang daripada kedua-dua kerajaan ini digunakan untuk "membeli" undi pengundi di sini. Namun ia tetap ditolak. Bagaimana pemimpin kerajaan hendak jawab apabila gula dijual RM1 sekilo saja sedangkan ketika harganya dinaikkan alasan yang diberikan adalah untuk mengelakkan kencing manis.  Apakah kerajaan mahu penduduk Sungai Limau diserang kencing manis apabila gula dijual dengan harga murah di sini. Kerajaan yang kena tanggung. Duit rakyat juga yang hilang.

Zulkifli Sulong, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA THEMALAYSIANINSIDER

Tiada ulasan: