Isnin, 4 November 2013

Pilihan Raya Kecil :Jangan mudah percaya keputusan awal PRK Sg Limau


Oleh Mohd Sayuti Omar


Adalah dijangka keputusan pilihan raya N20 Sungai Limau sudah dapat diketahui sejam sebelum pusat mengundi ditutup jam 6:00 petang. Kebiasaanya keputusan sudah boleh diagak selepas kira-kira 80% pengundi keluar mengundi di kesemua 17 pusat pengundian.

Para petugas dan pencerap parti masing-masing akan membuat kiraan berdasarkan kepada jumlah mereka yang memasuki bangsal panas (barung) untuk mendapat nombor giliran mengundi atau transit sementara masuk ke kawasan mengundi. Dari sini kedatangan pengundi akan direkod dan dianaliskan.

Mereka yang mendekati bangsal panas Pas akan dianggap sebagai pengundi Pas manakala yang memasuki ke barung UBN akan direkod sebagai pengundi BN. Begitu juga pengundi yang turun dari kenderaan berlambang parti tertentu akan direkod sebagai pengundi parti berkenaan. Selalunya tidak banyak berlaku perselisihan mengenai situasi ini kerana sikap pengundi suka menjelaskan ke arah mana sokongan mereka.

Selalunya pencerapan parti ini berada di kesemua pusat-pusat pengundian. Mereka akan membuat pemerhatian dan perkiraan berdasarkan pemerhatian dari berbagai sudut. Disebabkan perkembangan inilah dijangka keputusan tidak rasmi akan diperolehi seawal jam 4 petang.

Petunjuk untuk mengetahui parti mana menang dan kalah juga akan dapat diperolehi dengan memerhati sekitar barung berkenaan. Mana-mana parti yang petugasnya awal-awal lagi meninggalkan bangsal panas atau barung boleh disifatkan sudah mengaku kalah. Petunjuk ini dianggap tepat kerana mereka hampir dengan pengundi.

Lantaran akan berlaku penilaian demikian menyebabkan akan tersebar berita-berita yang tidak menyenangkan dan menyusahkan semua pihak. Provokasi dan perang saraf sesuatu yang tidak dapat dielakkan di era ruang untuk bersuara dan menabur maklumat luas dan mudah kini.

Menjelang tengah hari pasti sudah ada sms atau pun status-status dalam Fb, twitter yang memberi gambaran awal mengenai siapa menang dan siapa kalah.

Adalah diingatkan agar semua pihak tidak mudah terpengaruh dengan provokasi atau berita angin berkenaan. Sebaik-baiknya semua sabar menanti keputusan rasmi yang akan diumumkan SPR sekitar jam 9 malam. Atau pun setidak-tidaknya menanti saat penjumlahan undi dibuat yang dijangka bermula pada jam 7:00 malam selepas satu jam peti undi ditutup.

Tiada ulasan: