Ahad, 17 November 2013

Perbincangan Penggabungan Selepas MCA, SUPP Selesai Pemilihan - Gerakan

MSTAR ONLINE
 

KUALA LUMPUR: Gerakan akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan penggabungan parti bersama MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) setelah kedua-dua parti itu selesai mengadakan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata beliau menyokong usaha penggabungan ketiga-tiga parti komponen itu bagi mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam meraih kembali sokongan rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Kompleks Rakan Muda Puchong dekat sini, hari ini Mah berkata Gerakan mahu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai parti komponen BN bagi menjadikan mereka lebih kuat.

Turut hadir Naib presiden Gerakan A. Kohilan Pillay dan Datuk Dr Asharuddin Ahmad dan Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe. Sementara itu, Mah berkata Gerakan perlu mengkaji kelemahannya supaya dapat memperkukuhkan semula parti itu seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kekalahan teruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu memberi pengajaran kepada semua anggotanya untuk melakukan transformasi.

Beliau berkata, program transformasi Gerakan akan diputuskan dan diumumkan selepas parti itu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada 23 November ini. -BERNAMA

Tiada ulasan: