muktamar pas


PETALING JAYA - Sesi perbahasan dan menerima Usul-usul Muktamar Pemuda Pas kali ke-54 menjadi panas apabila beberapa perwakilan membantah usul yang dikemukakan untuk mempertahankan kepimpinan ulama.

Pengerusi Tetapnya, Misbahul Munir Masduki mengumumkan usul tersebut ditolak kerana melanggar Perlembagaan Pas.

Usul mempertahankan kepimpinan Ulama disuarakan Pemuda Pas Kawasan Gombak.

Pemuda Gombak mengusulkan agar penekanan betapa pentingnya Pas diterajui oleh kepimpinan ulama .

"Seorang Presiden secara realistiknya perlu menghampiri syarat-syarat al-alim al-faqih bagi membolehkannya mengutarakan pandangan dan membuat keputusan.

"Oleh kerana Presiden sepatutnya datang daripada golongan ulama, maka sewajarnya juga timbalannya datang daripada ulama untuk pastikan kesinambungan," kata usul itu.

Ketika dibahaskan, seorang perwakilan mengingatkan Perlembagaan parti tidak menyebut bahawa kepimpinan dalam parti mesti diterjaui sesorang yang berstatus ulama.

Ahli-ahli Pas sebulat suara menolak usul tersebut.

Menurut Misbahul, jika mahu hanya ulama yang memimpin Pas, Perlembagaan parti perlu dipinda.

"Usul ditolak kerana melanggar perlembagaan. Sedikit pun tiada sangka buruk kepada pihak yang mengemukakan usul.

"Jangan salah faham pula. Muktamar tidak tolak pimpinan ulama," katanya.

Empat usul dikemukakan dua daripadanya yang menyentuh soal Tahaaluf Siyasi dan menentang kekejaman terhadap gerakan Islam Bangladesh diluluskan tanpa dibahas.

Sementara usul menentang dasar Kabotaj di Sabah dan Sarawak dibahas sebelum diluluskan muktamar.