Jumaat, 1 November 2013

Penyanyi Aishah Dakwa BN Tolak Islam



 
Aishah turut berkempen bagi membantu calon PAS di PRK Sungai Limau.
 
 
YAN: Penyanyi Aishah mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak Islam apabila pemimpin parti berkenaan tidak menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam urusan pentadbiran negara.

Dakwa bekas calon PAS bagi kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan itu lagi, penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sedia ada membuktikan kepimpinan parti pemerintah mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

"Atas dasar-dasar kemanusiaan pun kau sudah buat salah. Bila kau (kerajaan) menyeleweng duit rakyat, tidak menjalankan amanah, apa-apa agama pun tidak boleh terima.

"Apa sudah jadi kepada Malaysia? Kata (mengaku) orang Islam tapi perlakuan mereka (pemimpin kerajaan) tidak membayangkan keislaman itu," katanya pada forum di Markas Pemuda PAS di Dulang Kecil di sini pada Khamis malam.

Forum penerangan politik sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau itu turut membariskan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali sebagai ahli panel.

Aishah hadir di DUN Sungai Limau buat kali kedua sepanjang tempoh berkempen bagi membantu calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat yang berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakil BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.

Tiada ulasan: