Khamis, 14 November 2013

Penarikan Husam tanding timbalan presiden satu rahmat untuk Kelantan

MSO


Pengelakan Husam Musa untuk tidak bertembung dengan 'saing' senegerinya Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar) bagi merebut jawatan timbalan presiden Pas yang akan dilangsungkan minggu depan hendaklah disambut dengan penuh kesyukuran oleh segenap ahli dan penyokong Pas Kelantan.

Nik Amar mendapat laluan.
Keputusan Husam itu tidak boleh dilihat ia sebagai sebuah takdir, tetapi perlu diamatinya dengan penuh kejernihan dan menggali akan akar hikmahnya. Bagi pemerhati tindakan Husam itu satu pengorbanan kecil yang perlu dinilai dan diucapkan terima kasih kepadanya, terutama oleh Nik Amar.

Dalam hal ini walaupun agak kekok untuk Husam berbuat demikian tetapi beliau telah meletakkan sesuatu yang sangat bernilai untuk Pas Kelantan dan negerinya.

Mereka (orang Pas) yang sayang kepada kerajaan Pas Kelantan dan ingin melihat kerajaan itu berusia panjang kena mengalu-alukan langkah Husam itu tanpa menempelkan dengan berbagai konotasi huduh dan jahat bertujuan mengejeknya.

Kandati pun cara Husam itu ada elemen-elemen politik tetapi ia boleh disaringkan untuk kebaikan Pas Kelantan. Bak kata orang sebusuk mana daging selagi tak haram ia boleh dimakan. Nik Amar perlu mengambil kesempatan ini. Adalah malang kalau ada yang melemparkan kata-kata Husam telah takut dan bimbang dengan kekalahan maka beliau menarik diri.

Tidak timbul perkara itu dan tidak perlu diungkitkan untuk terus memperkecil-kecilkan Husam. Soal kalah menang akan ditentukan oleh perwakilan dan jawabannya hanya ada dalam tangan Tuhan. Tetapi dari sudut mata saya, langkah Husam itu adalah demi kebaikan Pas khasnya Pas Kelantan dan Pas Malaysia amnya maka ia perlu dihargai sebaik mungkin. Sayanglah, kalau tikar yang sudah 'ditaja' anyamannya oleh Husam jika tidak dianyam sampai sudah.

Seperti mana diumumkan untuk menarik diri dari pencalonan jawatan timbalan presiden itu, beliau melihat maslahat parti lebih penting dari dirinya sendiri. Walaupun beliau dilihat sebahagian aset penting untuk Pas Kelantan dalam pilihan raya umum ke-14 kelak, tetapi Husam tentu ada pandangan lain yang lebih perlu diutamakan. Tentulah dia meletakkan kemenangan Pas lebih utama dari jawatan untuknya. Yang perlu diteruskan perjuangan bukan mengejar kedudukan.

Makanya tindakan Husam itu jangan dipertikaikan, dan penyokong Husam juga kena rela dengan apa yang diputuskan. Seorang pemimpin yang baik dan ikhlas tidak akan berbuat sesuatu demi kepentingan parti dan perjuangan bukan untuk diri sendiri. Tindakan sebegitulah yang boleh dijadikan timbang tara dalam memilih pemimpin.

Apa yang dapat dan patut dirumuskan apabila Husam tidak ikut sama bertanding jawatan itu, seolah-olah Husam memberi laluan kepada Nik Amar. Beliau menghantar Nik Amar ke jawatan itu. Keadaan ini kena faham tidak payah menunggu ianya dilakukan dengan badan. Language politik harus difahami.

Dari konteks negeri Kelantan begitulah yang harus dilihat. Husam tidak merasa rugi dengan tindakan itu malah bangga kerana saingnya menjadi galang ganti. Inilah politik ada kelas. Makanya para penyokong kedua pihak tidak perlu membuat tafsiran dari luar apa yang ada, kerana terjahan-terjahan beremosi ia akan merumitkan lagi keadaan. Masanya juga untuk para penyokong kedua-dua tokoh Pas Kelantan itu melakukan gejatan senjata atau pun merihatkan Facebook.

Kalau semua pihak waras, pertembungan dapat dielakkan perbalahan dikendurkan dan jurang perbezaan menjadi sempit. Semua perwakilan Kelantan boleh memberi undi kepada Husam untuk jawatan naib presiden. Begitu juga boleh diberikan undi kepada Nik Amar untuk jawatan timbalan presiden. Tidak ada (clash) pertembungan di antara penyokong kedua-dua tokoh itu di sini. Kedua-dua untung dan kedua-dua tidak rugi besar.

Tafsiran lain yang boleh dilakukan apa yang berlaku itu juga adalah sebagai ujian sejauh mana kebijaksanaan ahli Pas Kelantan mencorak masa depan Pas sekurang-kurang dalam setahun dua ini. Kalah atau menang kedua-dua tokoh itu akan memberi jawaban terhadap sejauh mana kelincahan silat politik orang Pas Kelantan.

Persefahaman yang dibuat secara kebetulan (takdir) itu hendaklah dijadikan momentum menjernihkan semula keadaan politik Pas di Kelantan yang agak mengeruh sejak ke belakangan ini. Ambillah kesempatan ini sebaik mungkin sebelum terlambat. Dan adalah sesuatu yang diyesali dan merugikan kalau kesempatan ini tidak digunakan kerana bukan mudah untuk mewujudkan senario persefahaman begitu. Apa-apa yang diperlukan didalam dunia ialah cetusan atau isbab.

Dalam perkara ini orang yang patut mengambil kesempatan ialah Menteri Besar Ahmad Yaakub. Beliau harus menggunakan atau pun mengolah takdir ini untuk melendikkan Pas Kelantan. Beliau perlu berbuat sesuatu dari keadaan ini demi Pas Kelantan. Beliau perlu ubati hati-hati yang luka dan terluka dan salah satu penawar ialah apa yang dikatakan ini.

Ahmad tidak boleh jadi saudagar kapal saja yang hanya akan bertanya soal untung. Tetapi dia juga kena ambil tahu soal ombak dan gelombang serta mempedulikan keadaan kapten dan anak-anak kapal. Beliau kena insaf kalau kapal karam disebabkan pergaduhan atau dilambung ombak yang akan menanggung rugi besar ialah beliau sang saudagar kapal.

Untuk tujuan ini atas kapasitinya sebagai timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan beliau boleh panggil para perwakilan Pas dari seluruh kawasan di Kelantan membuat persefahaman atas nawaitu untuk keharmonian bersama.

Tiada ulasan: