Jumaat, 22 November 2013

Pemuda PAS Lulus Usul Kaji Kerjasama Dalam Pakatan




PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat sebulat suara meluluskan usul bagi mengkaji semula 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik parti itu dalam pakatan pembangkang.

Wakil Pemuda PAS Permatang Pauh, Mohd Shafirol Rozali ketika membentangkan usul tersebut berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kumpulan tertentu yang tidak menghayati konsep tahaluf siyasi yang diperkenalkan Majlis Syura Ulama.

"Kita bukan nak cari pasal atau bergaduh dengan sesiapa, tapi kita nak berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Persoalannya selepas tahaluf siyasi diperkenalkan, ada di kalangan mereka yang tidak menghayati perkara ini sebagai sesuatu yang serius," katanya.

Bagaimanapun Mohd Shafirol menegaskan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu diperkukuhkan menerusi beberapa mekanisme.

"Antara perkara yang boleh dibuat untuk menyelesaikan isu ini ialah PAS Pusat hendaklah mewujudkan mekanisme penyelarasan polisi dan dasar di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Selain itu Majlis pimpinan Pakatan Rakyat Pusat hendaklah mewajibkan pimpinan Pakatan Rakyat negeri mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya setiap tiga bulan sekali bagi mencapai tujuan ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat juga perlu mendapatkan persetujuan kepimpinan akar umbi sebelum membuat keputusan khususnya membabitkan sebarang lantikan jawatan dalam kerajaan negeri.

"Sebarang lantikan politik dalam mana-mana posisi jawatan peringkat kerajaan yang melibatkan ahli dan pimpinan PAS, hendaklah mendapatkan pandangan dan persetujuan dari PAS kawasan, cawangan atau dewan-dewan terlebih dahulu," katanya.

Usul tersebut di sokong pembahas daripada Jeli dan Klang.

Tiada ulasan: