Isnin, 4 November 2013

Pelajar UUM tidak lagi dijajah Umno?




Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Selain  mengikuti perkembangan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau, saya  cukup teruja dengan beberapa keputusan pilihan raya kampus (PRK), terutama yang mencatat keputusan luar jangka, sekali gus mempamerkan keberanian mahasiswa untuk bersuara.

Apabila kumpulan Pro-Mahasiswa (walaupun dengan nama-nama berbeda) mempertahankan kemenangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Wufi), ia bukanlah berita yang mengejutkan; cuma bilangan kerusi yang dibincangkan.

Situasi berbeda di kampus-kampus utara Semenanjung -- Universiti Sains Malaysia, apatah lagi Universiti Utara Malaysia -- meskipun Pro-M belum berjaya sepenuhnya. Sekurang-kurangnya kumpulan Aspirasi (yang disokong kuat pentadbiran universiti) tidak lagi menguasai politik kampus universiti berkenaan secara mutlak.

Kerancakan gerakan pelajar selalunya terserlah jika bukan hanya satu kumpulan yang begitu dominan. Keadaan bertambah buruk apabila Hal Ehwal Pelajar, yang sepatutnya mengendalikan PRK secara bebas dan adil, bertindak menyebelahi Aspirasi. Istilah "pembangkang sifar" sememangnya tidak selari dengan makna sebuah demokrasi yang segar.

UUM pernah diberi jolokan nakal "Universiti Untuk Mahathir" ataupun "Universiti Umno Malaysia" (UUM), untuk menunjukkan warga kampus tersebut "terjajah" dengan satu aliran sahaja. Pentadbiran kanannya, termasuk naib canselor, didakwa bersikap tidak toleran dengan gerakan mahasiswa independen.

Ramai pemerhati agak terkejut dengan kebangkitan kumpulan Pro-M di UUM, dikenali Transformasi Mahasiswa. TMUUM merekodkan prestasi cemerlang apabila lima calonnya menang kerusi Umum, yang menawarkan lapan kerusi, manakala Aspirasi hanya satu.

Salah seorang daripada calon TMUUM, Bawani Kaniapan, yang pernah popular dengan fenomena "Listen! Listen!" mendapat 5,707 undi, pada kedudukan kelima tertinggi. Dua calon teratas juga mewakili TMUUM.

Bagaimanapun, Aspirasi yang hanya menang satu kerusi Umum, masih menguasai kerusi terbanyak Pusat Pengajian (14 kerusi), sedangkan TMUUM hanya lapan. Kedudukan Majlis Perwakilan Pelajar UUM akan ditentukan oleh sokongan kumpulan Hijrah dan Bebas, masing-masing memperolehi enam dan dua kerusi.

Lupakan perincian kerusi yang dimenangi Aspirasi mahupun Pro-M. Lebih menarik ialah kampus-kampus di luar Lembah Klang, termasuk UUM, kini tidak lagi dianggap IPTA yang "mudah dijinakkan" oleh elit penguasa. Pelajarnya tidak takut lagi untuk bersuara dan mahu pandangan mereka didengar.

Fenomena "Listen! Listen!" yang menggambarkan mahasiswa boleh dipersenda begitu rupa adalah episod malang yang mahu dilupakan warga UUM. Ya, universiti berkenaan mahu bersama dengan proses transformasi, mengangkat martabat pusat keilmuan dan meninggalkan imej lama yang suram.

Saya tidaklah sampai mahu mentafsirkan apa yang berlaku itu sebagai kemenangan kepada Pakatan Rakyat atau kekalahan buat BN. Realiti kampus adalah berbeda. Biar anak-anak muda di menara gading selesa bereksperimen, mengungguli idealisme, mencinta hikmah dan berani mencabar.

Suara kritis mahasiswa tidak bermakna mereka cenderung kepada mana-mana parti politik. Ia sekadar mengembalikan ciri sebenar gerakan pelajar yang sudah lama hilang, yang sentiasa resah, prihatin dan cuba menawarkan solusi umat dan negara.

Tiada ulasan: