Sabtu, 23 November 2013

PAS teguh bersama PR, selar golongan jaja agama untuk kepentingan politik

KUALA LUMPUR: Teka-teki di sebalik pelbagai fitnah kononnya PAS mahu berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR) terjawab apabila Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti Islam itu akan kekal bersama perjuangan dan aspirasi PR.

“Bagi membawa mesej ‘Rahmat Untuk Semua’, PAS akan terus menjadi rakan aktif dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-59 di Stadium melawati Shah Alam, semalam.

Abdul Hadi turut mengulangi prinsip dan peranan kerjasama dalam PR bahawa PAS dan rakan gabungan dalam PR “bukan penumpang”.

“Semua parti dalam PR adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap yang lebih maju dan seterusnya memikul amanah yang berat ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegur sikap sesetengah pihak yang memainkan sentimen agama demi kepentingan politik.

“Umat Islam yang ada dalam negara kita ini dikejutkan dengan rentetan serangan isu berkaitan dengan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan negara ini, di samping suasana yang tidak harmoni cuba dicetuskan oleh kalangan yang ingin mengambil kesempatan.

“PAS sekali lagi ingin menegaskan, bahawa isu agama yang penuh sarat dengan hukum syariatnya, yang bersendikan rujukan al-Quran dan as-Sunnah serta pandangan ulama muktabar sepanjang zaman, tidak wajar menjadi barang dagangan yang boleh dijaja ke sana sini. Apatah lagi isu yang sensitif dan jelas susur galur hukumnya ini sedang dijadikan senjata politik oleh kerajaan UMNO-BN untuk meraih sokongan mereka yang semakin menipis,” ujar beliau.

Ketika diminta mengulas ucapan dasar itu, Ketua DAPSY Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, ucapan Presiden PAS itu membuktikan hala tuju ketiga-tiga rakan PAS, PKR dan DAP tidak berubah.
“Agenda utama perjuangan kita adalah untuk Malaysia yang lebih baik.

“PR akan terus mara ke hadapan menolak segala propaganda jahat dan tidak beretika Barisan Nasional (BN) yang sering dilihat sengaja mencetuskan kontroverssi demi memecahbelahkan perpaduan kita,” ujar beliau.-Roketkini.com

Tiada ulasan: