VIDEO l 3:24 minit 


Kerajaan perlu meminta maaf kepada umat Islam dan menarik balik kenyataan memburukkan PAS apabila mereka sendiri membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible di Sabah dan Sarawak, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

NONE"Apa isunya sebelum ini apabila kerajaan menuduh PAS sedangkan kerajaan sendiri membenarkannya?

"Kerajaan BN perlu tarik balik semua kenyataan yang memburukkan PAS kerana kerajaan sendiri membenarkan kalimah Allah (digunakan dalam Bible)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Menurutnya, keizinan menggunakan kalimah itu dalam Bible untuk penganut Kristian di Sabah dan Sarawak selepas pilihan raya umum selesai tetapi mengheret kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald sehingga ke mahkamah rayuan di semenanjung adalah bukti jelas kedua-dua keputusan itu dibuat berasaskan sentimen politik.

"Orang Melayu kena faham dalam pilihan raya tempoh hari mereka telah ditipu oleh Umno dan macai-macai Umno," kata Mahfuz.

Bercakap lanjut, Mahfuz berkata keizinan tersebut juga bertentangan dengan dakwaan kerajaan yang mereka akan mempertahankan kalimah Allah yang merupakan milik eksklusif umat Islam di Malaysia.

"Di mana pula hak eksklusif orang Islam di Sabah dan Sarawak?" tanya Mahfuz secara sinis.

Sidang media itu adalah susulan kepada tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang mengelak untuk mengaku kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan di Sabah dan Sarawak sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat petang tadi.

Beliau diasak berulang kali oleh Mahfuz, MP Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof dan MP Batu, Tian Chua yang menggesa Jamil mengaku secara terus terang yang kabinet membenarkan perkara itu.

Jamil sebaliknya berulang kali sekadar menyebut ketetapan itu mempunyai kaitan dengan Penyelesaian 10 Perkara yang telah dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Untuk Sabah dan Sarawak kita tengok ada kaitan dengan 10 Points Solution.

"Yang telah diputuskan mahkamah adalah berdasarkan majalah The Herald yang dipohon pihak gereja Katolik yang beralamat di Petaling Jaya," katanya.

BN dalam pilihan raya umum lalu menggunakan isu kalimah Allah sebagai salah satu bahan kempen mereka.

Mereka mendakwa PAS terpaksa berkompromi dengan DAP apabila bersetuju agar nama Allah dikongsi bersama penganut-penganut agama lain.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tulisan di blognya sempena sambutan Awal Muharram berikrar akan terus mempertahankan kalimah Allah walaupun kabinet yang diketuainya membenarkan ia digunakan dalam Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.