Sabtu, 9 November 2013

PAS guna penebuk khas tanda tag perwakilan

Muhammad Faizal,
 

KUALA LUMPUR: PAS akan menggunakankaedah khas iaitu menebuk setiap tag perwakilan yang telah mengundi pada pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS pada 22 November nanti bagi mengelak pengundian berulang.

Berkata pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat bagi sesi 2013-2015, Asmuni Awi memberitahu pihaknya tidak berhasrat menggunakan dakwat kekal.

"Dakwat kekal kita tak guna sebab ia bukannya kekal pun, kita akan menggunakan penebuk khas dan setiap tag yang dipakai oleh perwakilan akan ditebuk pada waktu pemilihan nanti.

"Ini bagi mengenal pasti mereka telah mengundi, untuk berlaku pengundian dua kali itu mustahil sebab tag dikeluarkan oleh PAS Pusat dan ia tidak akan berlaku," katanya.

Beliau yakin PAS mampu melaksanakan pemilihan dengan cara yang lebih berhemah serta tidak akan wujud penipuan pada pemilihan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 yang akan diadakan pada 22 November di Shah Alam nanti.

"Kita yakin para perwakilan akan membuat pemilihan secara berhemah sepertimana yang kita amalkan sebelum ini.

"Pemilihan secara sihat tidak ada penipuan akan berlaku ataupun pengundian dua kali," sambung beliau.

Dianggarkan hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar kali ini dan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi membentuk barisan kepimpinan baru Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan juga ketiga-tiga dewan Ulamak, Pemuda serta Muslimat bagi sesi 2013-2015.

Tiada ulasan: