Isnin, 25 November 2013

Ong Tee Keat Akan Tanding Jawatan Presiden MCA




 
Ong Tee Keat.


KUALA LUMPUR: Bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan akan bertanding bagi jawatan tertinggi pada pemilihan parti itu 21 Disember ini.

Bercakap pada sidang media di sini Isnin, Ong berkata, beliau telah mengenal pasti kelemahannya sambil menambah bahawa beliau mahu membawa parti lebih dekat kepada rakyat.

Beliau yang menawarkan khidmatnya kepada parti berkata, pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen sejak 1989 dan keupayaan untuk berinteraksi secara tenang dengan rakyat akan membantu mengeratkan lagi hubungan dan mendapatkan keyakinan mereka.

"Saya akan lakukan apa yang saya boleh bawakan parti lebih dekat kepada rakyat, tanpa mengira kaum," katanya.

Ong menyedari bahawa beliau dianggap sebagai "bersendirian tanpa sokongan" tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menjadi Ahli Parlimen sekiranya beliau benar-benar tiada sokongan ramai.

"Sama ada betul ataupun tidak, saya akan meletakkan kebijaksanaan anggota parti dan rakyat.

"Saya dengan rendah diri dan seikhlasnya mahu mendapatkan sokongan ramai dan parti," tambahnya.

Ong sebelum ini dipilih sebagai Presiden MCA pada Oktober 2008 dan mempertahankan jawatan itu sehingga Mac 2010 apabila beliau disingkirkan oleh presiden parti ketika ini, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau turut merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004, dan menjadi Menteri Pengangkutan dari 2008 hingga 2010.

Ong tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Tiada ulasan: