Khamis, 28 November 2013

OH NO! Ibrahim Ali dilantik lembaga pengarah UiTM

MALAYSIA CHRONICLE




Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak sebelum Pilihan Raya 2013, menurut seorang ahli Perkasa.

Beliau bagaimanapun tidak pasti tarikh sebenar berhubung pelantikan Ibrahim.

"Tak silap saya sebelum PRU. Tapi saya tak ingat tarikh sebenar," katanya ketika dihubungi.

Semakan The Malaysian Insider di laman portal rasmi institusi pendidikan tinggi berkenaan turut menemui nama Ibrahim dalam ruangan Ahli Lembaga Pengarah.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu merupakan alumni UiTM dan pernah menuntut di universiti untuk pelajar Bumiputera berkenaan antara tahun 1971 hingga 1974.

Sebelum ini pada 2011, timbul isu berkenaan Anugerah Ibrahim Ali oleh UiTM melalui Institut Kepimpinan Melayu (Impak) yang menawarkan RM5,000 kepada penerimanya.

Pada 19 November lalu, pemimpin lantang yang memperjuangkan hak istimewa Melayu itu telah dipenjara selama sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina mahkamah berhubung artikel berkaitan seorang hakim yang mendengar kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Hukuman itu dibuat hakim Datuk John Louis O'Hara dan Ibrahim ditahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum dibebaskan selepas jam 5 petang.

Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan pelantikan berkenaan apabila dihubungi.

"Saya memberi jaminan kes (Ibrahim dipenjara sehari) tidak memberi sebarang masalah terhadap jawatan itu," kata sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu. - TMI

Tiada ulasan: