Sabtu, 16 November 2013

Negara dibebani hutang, jadilah pemimpin berhemah

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz,


Berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus tadbir kewangan negara bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah.

Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bernama Saad r.a. ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad r.a, Rasulullah SAW bersabada:

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Artinya: Apakah pembaziran ini? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Lihatlah bagaimana Khalifah  Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri sangat mengagumkan dan seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Islam pada setiap zaman. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara dilakukan secara berhati-hati dan berjimat-cermat atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Tempoh pemerintahannya sangat pendek, hanya 2 tahun setengah sahaja. Namun revolusi yang dibawa memberi impak yang begitu besar kepada rakyat dan negara. Segala perubahan tersebut berlaku dalam masa tidak sampai 3 tahun, Bukan 54 tahun. Saya percaya, selaku salah seorang rakyat biasa yang prihatin, pasti inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Tidak perlulah seideal Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai integriti yang meyakinkan.

Walau bagaimanapun, senario yang bertentangan berlaku, tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan dalam negara dan luar negara.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran.

Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi?

Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil tak guna perbelanjaan tinggi.

PAS mencadangkan untuk tahun 2014 Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lebih banyak guna pesawat komersil walaupun ke luar negara, untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

Ada pemimpin besar negara maju (Malaysia negara membangun) tak guna pesawat pun. Pesawat eksekutif biarlah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja. Tapi baru-baru ini pun Timbalan Perdana Menteri ulang alik ke Sungai Limau guna pesawat eksekutif. Ini tak betul sebab ini kempen parti bukan program kerajaan dan kalau program kerajaan pun kerajaan perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan guna pesawat komersil kerana pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik.

Oleh itu, Malaysia sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan defisit negara bahkan mampu membayar hutang negara yang semakin menggunung tinggi hampir RM600 bilion, jika kewangan negara diurus secara berhemah dan berjimat cermat tanpa membazir.

Tiada ulasan: