Isnin, 25 November 2013

Najib kata, kalau tidak bayar cukai, itu tidak patriotik. Setuju?

Semalam Najib bercakap tentang rukun patriotisma dan salah satu dari rukun itu ialah rakyat mesti membayar cukai. Beliau berkata negara perlukan wang untuk mentadbir negara. Negara perlu membina jalanraya, dan perlu membina sekolah dan banyak lagi keperluan lain dan sumbernya tidak ada yang lain dari mengutip cukai dari rakyat. Itu sebabnya kita perkenalkan GST, kata beliau.

Kita hendak bertanya kepada PM Najib, siapa yang tidak mahu di cukai? Selama ini rakyat membayar cukai kepada kerajaan untuk menampung perbelanjaan pengurusan rakyat. Dari dulu sehingga sekarang semua orang membayar cukai. Saya yang sudah tidak bergiat dan bekerja lagi pun membayar cukai. Dari RM38 dari pembelian rokok sahaja saya membayar lebih dari RM22 sehari. Itu dari pembelian rokok sahaja saya membayar cukai jualan setiap hari. Belum lagi cukai-cukai yang lain.

PM Najib tidak payah memberitahu rakyat yang mengelak dari pembayaran cukai itu adalah tindakan tidak patriotik kepada negara. Itu semua orang tahu. Tetapi yang rakyat ingin tahu pula adakah orang dan pemimpin yang rasuah itu juga tidak patriotik kepada negara.

Tidakkah melakukan rasuah itu bukan sahaja tidak patriotik kepada negara malahan agama kita menyamakannya sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Ia bukan sahaja bertentangan dan tidak patriotik kepada negara malahan ia adalah perlanggaran secara ‘head-on’ terhadap Tuhan Maha Esa.

Kenapa Najib tidak menyebut isu itu? Tidakkah membenarkan ahli keluarga kita berbelanja harta rakyat secara boros itu juga adalah sama dengan orang yang memakan harta anak yatim. Apa patriotiknya jika kita membiarkan isteri kita berbelanja wang rakyat seperti berbelanja wang mak bapak kita sendiri?

Jelasnya Najib hanya pandai bercakap seperti seorang pahlawan tetapi beliau tidak lebih dari seorang pahlawan tepuk. PM Najib sedang cuba untuk memaparkan ‘muka poker’ nya dalam berbicara tetapi apa yang tersembunyi di dalam dirinya tidak dapat lagi di lindungi dari pandangan rakyat.

Rakyat tidak pernah mengelak dari membayar cukai tetapi rakyat tidak mahu cukai yang di bayar kepada kantung kerajaan itu di punah-ranahkan oleh keluarga pemimpin yang sedang berkuasa. Ingat, wang cukai yang rakyat bayar dari titik peluh mereka itu perlu di jaga dan di belanjakan dengan baik. Rakyat bukannya mahukan cukai yang mereka bayar itu di bazirkan untuk memenuhi ‘glamour’ ahli keluarga pemimpin termasuk ahli keluarga Perdana Menteri sendiri.

Seorang pemimpin yang baik perlu ada rasa malu dan rasa bersalah jika membelanjakan wang rakyat dengan tidak berhemah. Seperti PM Najib menasihatkan rakyat supaya hidup secara wasatiyah, kini rakyat ingin memberitahu supaya PM sendiri mengamalkan perbelanjaan secara wasatiyah juga? Sampai bila PM kita ini hendak menggunakan orang lain untuk melindungi kerja yang tidak betul ini.

Takkanlah hendak menggunakan Shahidan Kassim setiap kali rakyat terjumpa salah laku pemimpin kita di Jabatan Perdana Menteri itu? Kita juga sedar dalam UMNO sememangnya ramai manusia seperti Shahidan itu tetapi adil kah jika PM berselindung di sebalik orang seperti ini?

Apakah fungsi Shahidan Kassim dalam kabinet itu sebenarnya? Apa pula fungsi semua ahli-ahli jemaah kabinet kerajaan sekarang ini? Kenapa Muhyiddin tidak berbunyi langsung suaranya? Begitu juga ahli kabinet yang lain. Tidakkah mereka semua sedar bahawa segala tindakan mereka adalah tindakan secara ‘collective’? Jika Rosmah membelanjakan wang rakyat secara boros, tidak kah semua ahli kabinet itu turut bertanggungjawab sama?

Isu berbelanja besar ini bukannya isu kecil dan rakyat terpaksa terlibat untuk mempastikan perkara-perkara seperti ini tidak terus-terusan di lakukan tanpa sebarang perasaan bersalah.

Rakyat sudah terlalu lama bersabar dengan sikap dan budaya buruk untuk negara yang cuba di bina dalam poltik negara kita. Setiap pemimpin tidak kira parti dan agama, dan setiap wilayah dan negeri perlu bersatu untuk bersama-sama menjadikan perjuangan ini seperti perjuangan jihad bagi menyelamatkan negara dan bangsa kita di negara ini.

Kita pilih seorang pemimpin yang mempunyai kalibar dan berjiwa rakyat yang sebenarnya serta tidak terlibat dengan kegiatan membina kekayaan dan membina ‘empire’ kaum keluarga sambil membelanjakan wang rakyat tanpa perasaan malu dan silu.

Seseorang terpaksa bercakap. Oleh kerana tiada yang bercakap secara terbuka dan berani maka saya terpaksa bercakap sebagai ‘ordinary citizen’ untuk memastikan semua rakyat sedar tentang kecelaruan kepimpinan kerana sikap dan sifat yang sangat tidak berguna untuk negara.

Saya selalu bercakap melalui blog ini yang negara kita terpaksa melakukan transformasi yang sebenarnya dengan memulakan susunan baru dalam siasah dan politik negara. Kita mulakan sebuah negara baru dengan ‘ambience’ politik baru semata-mata untuk kepentingan negara dan rakyat dan generasi yang akan datang.

Kita tinggalkan jasa ini kepada anak-anak cucu kita tanpa was-was. Percayalah dan yakinlah, jika di izin Tuhan kita semua akan selamat dengan negara yang terhindar dari kerja kerja hina yang tidak berkesudahan ini.

Tiada ulasan: