Konvensyen Nasional PKR


SHAH ALAM - Susulan usul keputusan pindaan perlembagaan yang diumum Presiden PKR sebentar tadi, perwakilan Sarawak, Abun Sui Anjit berpendapat, cadangan mengenai jawatan Naib Presiden dilantik perlu dilaksanakan dan bukan sekadar "mencantikkan" perlembagaan parti.

"Kita mahu pelaksanaan itu yang penting, bukan hanya cantikkan perlembagaan parti.

"Kuasa autonomi itu harus benar-benar dilaksanakan," katanya ketika pembahasan usul naib presiden dilantik, pada Konvensyen Nasional PKR, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengumumkan, PKR akan melantik seorang wakil negeri Sabah dan Sarawak mengisi  jawatan naib presiden parti selepas ia digubal secara rasmi hari ini.

"Selepas menyambut kemerdekaan yang ke-55, PKR, Pas dan DAP telah melancarkan 'Deklarasi Kuching' yang mana kita telah setuju untuk memasukkan perkara ini dalam perlembagaan yang bakal diluluskan.

"PKR tetap dengan pendirian yang mahukan autonomi diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, Abun turut mencadangkan, dua jawatan Naib Presiden daripada tiga jawatan tersebut diberikan kepada wakil Sabah dan Sarawak.

Katanya, perkara itu untuk memastikan kuasa autonomi yang dicadangkan untuk diberikan kepada PKR di Sabah dan Sarawak dilaksanakan secara berkesan serta lancar.

"Memandangkan cadangan untuk memberikan satu jawatan untuk Naib Presiden, jadi yang akan dipilih? Sabah atau Sarawak?

"Mengikut semangat perjanjian PKR, apa kata wujudkan dua jawatan untuk Sabah dan Sarawak.
"Sabah dan Sarawak jangan bergaduh pula, tapi saya yakin negeri ini tidak akan bergaduh,"
Tambahnya, pemberian kuasa autonomi dengan melantik seorang wakil daripada Sabah dan Sarawak boleh dilakukan dengan mengikut giliran.

"...tapi pimpinan bagi satu saja, kita boleh buat ikut giliran," katanya.