Khamis, 21 November 2013

Muslimat pelu contohi kebijaksanaan Ratu Balqis

Saidah Hairan,
 

SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa berharap Muslimat PAS menjadikan contoh Ratu Balqis sebagai model kepimpinan wanita yang berjaya memimpin kerajaan disamping taat dengan perintah Allah SWT.

Menurut beliau, kebijaksanaan dalam mentadbir kerajaan bukan sahaja perlu dicontohi oleh Muslimat tetapi seluruh negeri dan negara yang memerintah.

Katanya, Balqis ternyata dapat menguasai perjalanan kerajaan dengan cekap serta mempunyai pandangan dan perhitungan politik yang tajam.

"Saya bawa kisah Balqis ini untuk merangsang generasi Muslimat di era cabaran masa kini, untuk bangkit bersedia, tangkas dna berkebolehan membawa panji-panji Islam," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-53 di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam.

Beliau berkata, pilihan raya umum ke-13 membuktikan kejayaan PAS untuk mengambil alih tampuk pemerintahan di Putrajaya apabila PAS berjaya mencapai prestasi setinggi 35 peratus daripada jumlah yang ditandingi.

Katanya, Pakatan Rakyat kini mempunyai 89 kerusi di dewan Rakyat dan perlu membentuk kerajaan dengan penambahan 23 kerusi menjadikan 112 kerusi.

"Daripada 133 kerusi Parlimen yang diperolehi BN hanya 43 kerusi iaitu satu majoriti kecil. Ini bermakna BN sedang menunggu saat untuk goyang. Kerusi BN kini berada di hujung tanduk," katanya.

Tambah beliau, kekuatan Umno-BN hanya kerana sokongan jentera kerajaan dan jika tiada kuasa dan kekayaan Umno-BN akan musnah.

Justeru tegasnya, menjadi tanggungjawab besar setiap ahli PAS khususnya Muslimat mencari jalan untuk mendapatkan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi.

Dalam ucapan itu beliau turut menyentuh tentang kejayaan PAS menyertai Pakatan Rakyat yang berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen dan dewan undangan negeri.

"Kita dapat menguasai negeri-negeri di mana BN dapat ditumbangkan buat pertama kali dan mengekalkan kejayaan memerintah Kelantan," tegasnya.

Bagi Selangor tambah beliau, pencapaian PAS pada pilihan raya umum ke-13 adalah yang terbaik sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955 daripada lapan kerusi pada PRU ke-12 menjadi 15 kerusi.

"Ini membuktikan bahawa rakyat negeri Selangor telah menerima parti lain selain Umno-BN untuk mewakili mereka," katanya.

Menurut beliau, selain pencapaian politik dalam gabungan Pakatan Rakyat, PAS turut berjaya melebar luaskan dakwah di kalangan orang bukan Islam.

Tiada ulasan: