Isnin, 18 November 2013

Muktamar: Sanggupkah Muhyiddin beri jawatan TPM kepada Hadi?



Oleh Timmy Say


Muktamar PAS ke-59 bakal berlangsung minggu ini. Pelbagai tulisan diketengahkan, secara tersurat dan tersirat untuk mempengaruhi minda perwakilan PAS yang bakal pengundi.Dua tahun lepas, muktamar PAS dikatakan penting di mana ia dikatakan menjadi penentu kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) di PRU13.

Apa yang terjadi tidak perlu diulas, para penganalisa yang membuat bidaan mengapa seseorang itu perlu menjawat jawatan tertentu untuk meningkatkan peluang PAS dan PR hilang entah ke mana?
Bukan mereka hilang, tapi yang membacanya lupa.

Kali ini, para penganalisa cuba bermain sentimen yang sama. Apakah keputusan pemilihan PAS kali ini akan menguatkan PR untuk PRU14 atau sebaliknya?

Ada juga tuduhan bahawa jika golongan tertentu menguasai PAS, mereka akan membawa keluar PAS untuk bersama Umno-BN. Oleh itu pandai-pandailah mengundi.

Bukan itu sahaja, ada juga yang membawa ketakutan tidak terhingga jika apa yang ada dikekalkan maka PAS akan hilang sinar Islamnya.

Semua mereka ini menjadi tukang tilik yang hebat, seolah-olah boleh mengetahui apa yang  Tuhan tahu di depan.

Apakah tukang-tukang tilik ini berjaya meramal ketika Nasharuddin Mat Isa menjadi Timbalan Presiden PAS, PAS mampu berjaya menguasai tiga negeri, Kedah, Perak dan Kelantan di 2008?

Bukankah tukang-tukang tilik ini yang meramal PAS dengan Mohamad Sabu sebagai timbalan, Putrajaya akan menjadi milik PR di 2013?

Artikel ini bukanlah untuk mempertikaikan mana-mana individu yang bakal bertanding di muktamar, ia lebih untuk menyedarkan para pembaca bahawa tulisan para penganalisa hanyalah sekadar tulisan untuk menambahkan hits kepada laman-laman yang menyiarkannya.

Berbalik kepada mainan jahat pihak tertentu yang mendakwa kerjasama PAS  dengan PR akan terjejas dan kemungkinan PAS akan kembali bersama Umno-BN jika golongan tertentu menang di muktamar ini. Pada pandangan saya, ini cumalah saraf untuk menakutkan perwakilan yang bakal mengundi.

Jika betul Umno sanggup bekerjasama dengan PAS, apakah Muhyiddin sanggup melepaskan kerusi Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden PAS?

Berapa banyak kerusi pertembungan antara PAS dan Umno yang sanggup dilepaskan Umno untuk PAS berkuasa di kerusi tersebut di PRU14? Berapa ramai dalam Umno yang sudi berkorban untuk memberi laluan pada PAS?

Begitu juga dengan dakwaan bahawa PAS akan hilang undi Melayu jika barisan kepimpinan PAS yang ada ini dikekalkan.

Dakwaan ini tidak betul, kerana PAS sememangnya mendapat undi Melayu yang semakin meningkat di PRU12 dan PRU13 jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di 2004.

Hujah hanya mendapat 21 kerusi parlimen di PRU13 terlalu rapuh untuk digunakan untuk justifikasi bahawa PAS hilang sokongan Melayu.

Kehilangan 2 kerusi parlimen berbanding 2008 tidak boleh memadamkan fakta bahawa PAS memenangi 85 kerusi DUN, kedua tertinggi belakang DAP 95 dan PKR 49.

Jika kita melihat dari segi jumlah kerusi (parlimen dan DUN) yang dimenangi antara tiga komponen parti Pakatan Rakyat – DAP (38 + 95 = 133), PAS (21 + 85 = 106) dan PKR (30 + 49 = 79), sebenarnya prestasi PAS di PRU13 tidaklah seburuk yang digambarkan.

Bayangkan jika PAS berjaya mempertahankan Kedah? PAS sebenarnya adalah parti yang terkuat di dalam PR.

Oleh itu, para perwakilan tidak perlulah termakan dengan hujah-hujah yang dibawa oleh mana-mana tulisan sebelum mengundi di muktamar kali ini.

Dua-dua hujah bahawa PAS akan hilang sokongan Melayu jika golongan ini diundi dan PAS akan bersama Umno jika golongan itu diundi semuanya tidak berasas dan cumalah mainan saraf, ahli sendiri dan juga pihak musuh.

Undilah dengan adil dan ikut kesukaan hati, tapi jangan sesekali mengundi atas dasar termakan fitnah, hujah menghasut dan persepsi menyeleweng yang telah ditanam daripada mainan jahat pihak tertentu.

Muktamar PAS ialah tempat meraikan demokrasi. Buatlah yang sepatutnya supaya demokrasi terus bergetar dengan sihat dalam PAS.

Saya juga mencadangkan agar setiap kepimpinan PAS yang dipilih diberikan KPI. Umpamanya KPI 2 tahun yang saya terfikir ialah:

1.     Peningkatan ahli baru sebanyak 20% di semua peringkat.

2.     Peningkatan jumlah cawangan dan kawasan sebanyak 20%.

3.     Mendapat kedudukan pertama dalam daftar pemilih baru oleh parti politik di Malaysia.
4.     Mengumpul dana PRU14 sebanyak RM5 juta.

5.     Jika ada PRU, mesti mencatat jumlah kerusi meningkat di kawasan bertanding dan menang, dan pengurangan majoriti di kawasan yang tewas.

6.     Membesar dan merakyatkan isu penyelewengan dana kerajaan sebagaimana popularnya tuntutan Bersih.

7.     Dakwah Islam – jumlah forum yang dianjurkan yang diukur keberjayaannya melalui keberkesanan program tersebut menarik minat golongan muda dan penyokong Umno.

Ini cumalah cadangan KPI tetapi tidak semestinya sesuai.

Bagaimanapun dengan KPI, para perwakilan tidak perlu bersusah-payah dan tidak perlu ditakut-takutkan dengan sentimen saraf setiap kali datangnya muktamar pemilihan.

Kerana perhitungannya mudah, apakah kepimpinan yang ada mencapai KPI yang telah dipersetujui?
Jika tidak, buatlah pertukaran. Jika ya, apakah alasan yang lebih baik (bukan kerana fitnah, tohmahan dan gosip yang tidak dapat dibuktikan) untuk menukar mereka? –M/Insider

Tiada ulasan: