Isnin, 18 November 2013

Muktamar PAS ke-59 dan serangan media perdana

Dr Syed Azman Syed Ahmad,

Akhbar media perdana khususnya Utusan Malaysia dan The Star terus-menerus memalukan gendang pertembungan antara golongan ulama dengan profesional dalam PAS. Isu ini dimainkan sejak sekian lama terutamanya setiap kali menjelang pemilihan pucuk pimpinan di dalam Muktamar PAS.  Gambaran yang diberikan sengaja dibesar-besarkan dan amat menakutkan banyak pihak termasuk daripada kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri.

Misalnya akhbar milik Umno, Utusan Malaysia memainkan besar bagi memaparkan isu bahawa golongan ulama di dalam PAS sedang dipinggirkan oleh kelompok profesional yang sedang menguasai kepimpinan PAS. Gambaran yang cuba diberikan adalah kelompok profesianal ini barkiblatkan kepimpinan Anwar Ibrahim dan bukannya kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi dan para ulama dalam Pas.

Bagi penulis dan editor Utusan, sikap ini adalah amat bahaya kepada perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam dalam negera. Ini ditambah lagi hubungan diantara PAS dan parti DAP yang dilihat oleh lidah rasmi Utusan itu sebagai merugikan Melayu dan umat Islam di negara ini. Jesteru, Utusan menyarankan perlu kepada perubahan pucuk pimpinan agar golongan Ulama dapat ‘menyelamatkan PAS dan kembali kepada landasan yang benar-benar dihayati oleh PAS terutamanya memutuskan hubungan dengan DAP dan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Sementara itu di dalam akhbar berbahasa Inggeris milik MCA, The Star, penulis pojoknya Joceline Tan yang dikatakan sebagai seorang ‘pakar dalam mengorek maklumat dalaman PAS, sudah dua kali dalam minggu menjelang Muktamar ini memaparkan rencana besar tentang pertembungan antara golongan ‘Erdogan’ dan ulama di dalam PAS. Joceline Tan dalam tulisannya cuba memberi gambaran bahawa kelompok Erdogan lebih setia kepada Anwar Ibrahim dan ini amat tidak disenangi oleh kelompok ulama didalam PAS.

Namum inilah realiti akhbar-akhbar perdana milik UMNO/BN setiap kali menjelang Muktamar PAS. Mereka akan mencari apa jua jalan bagi memecah-belahkan PAS dengan segala kepakaran media yang ada pada mereka.

Persoalamnnya, apakah ahli PAS akan mengikut rentak dari paluan gendang media Umno/BN ini menjelang Muktamar? Apakah benar kepimpinan PAS kini sedang menuju jalan kehancuran akibat daripada penguasan kelompok profesional dalam kepimpinan tertinggi PAS kini? Dan apakah benar tohmohan bahawa kelompok Erdogan kini sedang membawa PAS kepada pemikiran yang ‘liberal’ dan ‘anti ulama’ akibat dari hubungan dengan DAP dan Pakatan Rakyat?

Jawapan dan penegasan daripada Presidan PAS dan Mursyidul Am PAS adalah jelas. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menutup perasmian Ijtimak PAS Selangor menegaskan bahawa adalah haram bagi setiap ahli PAS mengikut permainan media luar kononnya berlaku pertembungan  antara golongan ulama dengan profesional dalam PAS. Tegas beliau; "Ini mainan media, gendang yang dipalu oleh mereka tidak seharusnya diikuti. Haram bagi kita menari mengikut gendang itu,".

Presiden PAS turut menegaskan akan tanggung jawab semua ahli dan pimpinan PAS menyatukan semua pendokong parti dan bukan memecahbelahkan mereka. Bagi beliau, PAS kini bukan sahaja berjaya menarik sokongan golongan muda malah telah berjaya memecahkan paradigma kalangan orang bukan Islam yang menjadi sebahagian masyarakat majmuk untuk memberi sokongan kepada PAS. "Kita berjaya memecahkan benteng yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam," tegasnya.

Datuk Seri Abdul Hadi juga menegaskan bahawa Tahalluf Siyasi yang dilaksanakan oleh PAS, telah membenarkan PAS menjalin hubungan dengan parti DAP dan bukannya dengan Umno. Apatah lagi PAS telah menghadapi pengalaman pahit dikhianati Umno ketika menyertai kerajaan campuran dan bekerjasama dengan Umno/BN pada 1973.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika  ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Kelantan turut menegaskan bahawa sejak zaman Khulafah Ar Rashidin lagi ulama dan profesional berganding erat mentadbir kerajaan ketika itu. Bagi beliau; “Islam sejak awal lagi satukan ulama dan profesional dalam sebuah pentadbiran. Cuma sekarang ada pihak yang cuba hendak pisahkan ulama dan profesional dengan mewujudkan entiti yang berasingan. Maka tidak peliklah sekarang usaha-usaha berterusan dilakukan bagi memisahkan ulama dan profesional.  Sengaja mereka hendak pecah-pecahkan PAS kepada dua kelompok,”

Ya, penegasan berharga dari kedua-dua pimpinan tertinggi PAS ini sudah cukup bagi menolak fitnah jahat yang dimaiNkan oleh media Perdana milik Umno/BN menjelang pemilihan pada Muktamar PAS kali ini. Gandingan antara Ulama dan profesional inilah yang kini meletakkan Pas di persada politik negara. Dan gabungan utuh antara kedua-dua kelompok ulama dan profesional inilah juga yang sebenarnya menjadi igauan yang amat ditakuti oleh pemimpin Umno/BN. Selamat Bermuktamar.

Dr Syed Azman Syed Ahmad, Penolong Setiausaha Agong PAS.

Tiada ulasan: