Mohamad Sabu  
 
Mohamad Sabu

SHAH ALAM – Resolusi Multaqa Ulama Pas sebelum ini yang mencadangkan agar tahaluf siyasi dalam PR dikaji semula, berkemungkinan tidak akan diusulkan dalam Muktamar Pas ke-59, 22 hingga 24 November ini.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, sebaliknya usul lebih fokus membincangkan usaha untuk merapatkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga parti dalam PR.

“Saya masih belum berkesempatan melihat usul yang akan dibentangkan. Namun, saya jangkakan antara usulnya ialah berkaitan hal PR.

“Ia tidak ada kena mengena dengan cadangan Multaqa Ulama yang mahu tahaluf siyasi dikaji semula. Sebaliknya, usul ini lebih kepada pengukuhan PR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya lagi, antara usul lain yang dijangka dibangkitkan ialah usaha untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan Islam.

“Kita akan bincangkan bagaimana isu perkauman yang dimainkan oleh Umno telah memecahbelahkan perpaduan Melayu dan Islam.

“Ini termasuklah menerusi pelbagai medium seperti media dan modul latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dilihat sengaja membangkitkan persoalan isu perkauman,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau menjangkakan usul berkaitan prestasi Pas dalam PRU 13 lalu dan isu pergolakan di Mesir dan Syria akan turut dibentangkan.