Sabtu, 9 November 2013

Mengapa GST masuk dalam Bajet?


Oleh Subky Latif


Apa eloknya cukai GST wallahwa’lam. Allah yang maha tahu.

Ia adalah antara hadiah awal yang kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba beri kepada rakyat sebaik saja ia memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.Ia mula hendak dibentangkan di Parlimen dalam beberapa sidang sebelum Bajet 2014 . Tetapi banyak yang bising, maka ia pun ditangguhkan.

Tetapi enam bulan selepas PRU13 ia dibentangkan di celah puluhan cadangan Bajet 2014. Mengapa tidak jadi dibentang dulu dan mengapa dimasukkan dalam Bajet?

Kerana dulu orang marah. Dan sekarang pun ada yang marah. Adakah marah dulu tidak sama dengan marah sekarang?

Yang ditangguhkan dulu itu kerana GST itu bersendiri. Ia tidak diiring oleh janji dan gula-gula yang lain. Maka semuanya tertumpu kepada perkara itu. Orang yang tidak setuju punya masa selesa menumpukannya kerana tiada yang lain boleh mencuri  perhatian masing-masing.

Marah semuanya juga tertumpu kepada cukai itu.

Tetapi dalam usul Bajet bukan GST saja yang dikemukakan. Bukan sekadar hendak mencukai orang tetapi ada juga pemberian lain untuk rakyat. Antaranya janji meneruskan BR1M dengan tambahan RM150 lagi, bonus untuk kakitangan awam setengah bulan gaji atau tidak kurang RM500 setahun dan sekalian yang pencen ditambah habuannya.

Walaupun loteri itu tidak seimbang dengan cukai baru yang hendak dikenakan, tetapi boleh juga menyejukkan hati atau dapatlah masing-masing memujuk diri sendiri, daripada terpaksa memberi maka mereka juga ada menerima.

Jika tidak ada sogokan itu masing-masing tidak dapat apa. Yang dapat hanya kena cukai saja. Itulah hikmat GST itu ditangguhkan dulu dan diseludupkan dalam Bajet itu.

Ada pun GST itu tidaklah sepenting Bajet.  Ia boleh dilulus atau ditolak atau ditangguhkan. Tetapi  Bajet tidak boleh ditolak atau ditangguhkan. Kita boleh belajar daripada Amerika Syarikat yang acap menangguhkan Bajetnya seperti  yang berlaku beberapa minggu lalu.

Gara-gara bajet tidak diluluskan kerajaan tutup untuk seminggu dua. Kakitangan kerajaan tidak dapat gaji atau mereka seperti dibuang kerja. Banyak jentera kerajaan yang tidak bergerak.

Nasib baik kerajaan dan pembangkang dapat bertolak ansur. Jika mereka  bekeras kepala, mampuslah semuanya.

Maka Bajet  suka atau tidak suka mesti diluluskan. Payahlah dalam hendak meluluskan Bajet itu ada pilihan;  terima yang itu dan tolak yang ini. Bajet ada pekej yang biasanya diluluskan.

Maka memasukkan GST dalam Bejet adalah kerja yang senang dibandingkan dengan membentangnya secara berasingan.

Jika GST diusulkan secara berasingan, maka semasa  perbahasan,  semuanya membincangkan perkara itu saja. Tetapi perbincangan Bajet masa terbuka pada banyak perkara, maka perbincangan tentang GST jadi sebahagian yang kecil.

Apa pun bangsa Malaysia boleh dikira bangsa yang sukakan cukai atau tidak kisah  dicukai.

Kebanyakan  bangsa di dunia yang sukakan cukai ialah kerajaan saja atau hamba, sejenis anggota masyarakat yang tidak boleh kata tidak kepada tuannya.

Itulah sikap Bani Israil semasa menjadi hamba kaum Khibti di zaman Firaun. Apa yang Firaun buat termasuk  membunuh bayi laki-laki mereka katakan suka juga.

Tetapi bagi manusia yang merdeka sikap pertamanya ialah bencikan cukai dulu. Kedua barulah mereka memikirkan patutkah ada cukai baru atau tidak.

Tiada ulasan: