Mahfuz Omar  
 
 Mahfuz Omar


YAN - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasibnya sempena Muktamar Pas ke-59 pada 22 November nanti.

Beliau berkata, kebijaksanaan perwakilan diperlukan untuk membuat pilihan bukan atas dasar sentimen sebagai kawan sebaliknya berasaskan kemampuan beliau sendiri.

“Pemilihan mestilah melalui perkiraan kebolehan dan kemampuan saya untuk menerajui kepimpinan parti untuk terus menyambung khidmat yang saya berikan sebelum ini bagi membantu parti meningkatkan keupayaan di masa akan datang.

“Kita perlu menerajui perubahan. Pas berjaya mencetus perubahan dan memimpin perubahan itu,” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Adun Sungai Limau dan kenduri kesyukuran atas kemenangan Pas dalam PRK baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Adun Sungai Limau, Ustaz Azam Abdul Samat dan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kemenangan Pas di Sungai Limau akan mempengaruhi sokongan kepada beliau sebagai Pengarah PRK, Mahfuz berkata, keadaan itu bukan satu kayu ukurnya.

Menurutnya, PRK Sungai Limau hanya satu kebetulan dan tidak akan mempengaruhi perwakilan.

“Kalau tak ada PRK pun, perwakilan tetap ada pengukuran sendiri atas kemampuan yang sudah mereka lihat sebelum ini. Saya tak ada masalah jika tidak dipilih, tetapi berasakan saya boleh sedikit sebanyak menyambung khidmat bagi membantu Pas dalam fasa menerajui perubahan,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan lima penjuru yang bakal dihadapinya, Mahfuz berkata, persaingan itu agak sengit dalam satu kerangka demokratik yang sihat.

Muktamar Pas kali ini akan menyaksikan penyandang jawatan Naib Presiden Pas iaitu Mahfuz, Salahuddin dan Datuk Husam Musa turut disaingi oleh dua lagi tokoh Pas iaitu Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.