Isnin, 11 November 2013

Mahfuz mahu bantu PAS terajui perubahan

Muhammad Faizal,   
 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri mempertahankan jawatan bagi membantu PAS menerajui perubahan yang telah dilakukan parti sebelum ini.

Jelasnya, PAS sebelum ini berjuang untuk membawa perubahan baru dalam lanskap politik negara dan sekarang sudah pun berada dalam arus perubahan sehingga menjadi sebuah parti utama dalam libatan politik Malaysia.

"Jika kita lihat PAS sebelum ini berusaha untuk membawa perubahan sehinggalah kita berjaya melakukannya dan sekarang sudah sampai mana untuk kita menerajui perubahan tersebut agar terus meningkat," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Katanya lagi, PAS perlu mengekalkan perubahan yang sedia ada bagi memastikan ia seiring dengan apa yang berlaku agar tidak ketinggalan dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

"Kita perlu memahami suasana perubahan yang berlaku, perubahan yang sedia ada ini perlu ditingkatkan selain itu kita juga perlu melihat apa perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

"Saya pasti budaya ini akan saya bawa di dalam PAS, dan tujuan penawaran bertanding dalam jawatan tersebut adalah bagi memastikan PAS tidak ketinggalan.

"Masyarakat Malaysia sentiasa mengikuti perubahan dengan begitu cepat, PAS harus memahami perubahan ini bagi memastikan kita diterima oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi Y," sambung beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena akan memastikan perubahan yang berlaku dalam PAS akan dapat diteruskan sebagai langkah untuk meletakkan parti yang disegani.

"PAS menerajui perubahan melalui ilmu dan taqwa, selain itu PAS perlu pastikan pendidikan politik dapat diteruskan agar memastikan rakyat mendapat pendidikan serta penerangan yang jelas dalam apa yang dibawa oleh PAS," katanya.

Pertandingan lima penjuru

Beliau melihat pertandingan lima penjuru bagi jawatan Naib Presiden PAS adalah satu pertandingan yang cukup baik dan sihat.

Malah katanya, sebelum ini beliau tidak pernah memenangi mana-mana jawatan dengan mudah tetapi melalu satu pertandingan yang sengit.

"Pertandingan lima penjuru itu sebagai tanda positif berlaku dalam PAS.

"Saya sudah biasa bertanding dalam keadaan sedemikian, saya lihat dari sudut positi dan bukannya masalah kepada saya.

"Apa yang pasti setiap yang bertanding ingin membawa perubahan di dalam parti dan cabaran kepada saya adalah melihat apa yang kita lakukan ini sebagai satu tanggungjawab baru untuk mengekalkan kecemerlangan PAS," kata beliau.

Bagi Naib Presiden PAS, tiga calon mempertahankan jawatan iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, turut ditandingi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.

Tiada ulasan: