Rabu, 6 November 2013

Mahasiswa Bantah Proses Pemilihan MPP, Desak Campurtangan Suhakam

alt
 
 
KUALA LUMPUR - Empat pertubuhan mahasiswa hari ini menghantar Memo bantahan Pro Mahasiswa UIAM 'Pemilihan Presiden MPP Tidak Sah' kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
 
Menurut Pengerusi We Unite For Islam (WUFI) Najib Abd Rahim, desakan campurtangan Suhakam terpaksa dilakukan berikutan terdapat salahlaku yang berlaku dalam Pemilihan Office Bearers MPP UIAM 2013 / 2014 baru-baru ini.
 
"Terdapat lima salahlaku antaranya, keraguan yang berlaku ketika proses pengundian iaitu kertas undi merupakan bukan kertas undi rahsia apabila kesemua pengundi perlu menulis nama dan fakulti, kedua adalah berkaitan dengan pemilihan Timbalan Presiden 1 MPP dimana sepatutnya proses pengundian dilakukan oleh semua MPP namun ia diubah sekaligus bercanggah dengan Perlembagaan UIA.
 
"Selain daripada itu kaedah yang dilaksanakan terhadap empat jawatan tertinggi dibuat dengan cara 'angkat tangan' ," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan tersebut di Pejabat Suhakam di ibunegara tadi.
 
Penyerahan itu diketuai Najib mewakili WUFI sambil diiringi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Ma'ruf Club UIAM serta menerima sokongan solidariti daripada Pro M Universiti Putra Malaysia (UPM).
 
Dalam masa sama memorandum bantahan itu juga mempersoalkan tentang penggunaan kotak pembuangan undi yang dikatakan tidak transparen serta tiada pemerhati dikalangan pelajar.

Tiada ulasan: