Isnin, 18 November 2013

Kumpulan jemaah haji terakhir tiba di KLIA

Bernama,


SEPANG: Kumpulan terakhir seramai 281 jemaah haji Malaysia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini menerusi pesawat MH8309.

Mereka yang tiba pada kira-kira 7 pagi disambut pegawai pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH), Malaysia Airlines System (MAS) dan anggota keluarga masing-masing.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH Anis Zuhani Ahmad berkata, seorang jemaah haji bagaimanapun masih menerima rawatan di Hospital King Fahd Jeddah, Arab Saudi.

"Pesakit yang dirawat kini dalam pemerhatian doktor dan petugas Tabung Haji di Tanah Suci akan terus memantau keadaan beliau," menurutnya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di sini.

Sebanyak 64 buah penerbangan terdiri daripada 39 penerbangan MAS dan 25 penerbangan Saudi Airlines telah digunakan untuk membawa pulang seramai kira-kira 22,000 jemaah haji secara berperingkat, bermula 21 Okt lepas.

Pada musim haji tahun ini, jumlah kematian jemaah haji Malaysia di tanah suci adalah seramai 26 orang iaitu 15 lelaki dan 11 wanita.  - Bernama

Tiada ulasan: