Selasa, 19 November 2013

Ku Li: Pinda Perlembagaan untuk laksana HUDUD

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meminda Perlembagaan negara bagi melaksanakan hukum hudud, kata ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun katanya, sebelum berlaku sebarang pindaan bagi melaksanakan hukum itu, ia turut memerlukan persetujuan daripada  semua pihak.

"Kalau Perlembagaan tidak dipinda, bagaimana untuk dilaksanakan di negeri-negeri yang tidak mempunyai kuasa bagi menyelaras perkara tersebut.

"Saya tidak kira pandangan orang lain, kita orang Islam ini memang menyokong hudud, tetapi apakah Perlembagaan negara mengizinkan kita membenarkan negeri untuk mempertimbangkan (pelaksanaan hukum hudud) bagi soal jenayah," katanya.

Namun ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk membahaskannya di Dewan Rakyat, katanya ia bergantung kepada usul dan keputusan daripada Kerajaan Kelantan.

"Kita tengok keputusannya dulu, dia walau macam mana sekalipun kena pinda Perlembagaan, kalau ikutkan keadaan sekarang tidak boleh.

"Saya tiada bantahan, cuma di bawah Perlembagaan tidak boleh, kerana ia di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebagai orang Islam kita sokong hudud," ujarnya yang lebih mesra digelar Ku Li.

Katanya lagi, pelaksanaan hukum hudud perlu melibatkan kajian mendalam kerana ia berkait dengan soal jenayah.

"Jadi di bawah hudud, ia mungkin akan berkait dengan soal-soal kes berkaitan dengan jenayah.

"Tapi di bawah Perlembagaan sekarang, yang kita pakai sekarang tiadak kuasa untuk negeri pertimbang soal jenayah," kata beliau yang juga bekas Menteri Kewangan.

Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata, Mahkamah Syariah Kelantan kini sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud jika kerajaan Kelantan pimpinan Pas mampu menguatkuasakan undang-undang berkenaan di negeri itu.Sinar Harian

Tiada ulasan: