Jumaat, 22 November 2013

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor ketandusan idea

Oleh : Lau Weng San


Hujah Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor Datuk Mohamad Shamsudian Lias pada 20 November 2013 bahawa Belanjawan Selangor tahun 2014 ialah Belanjawan yang tidak berimbang ialah tuduhan liar.

Perkara ini telah diulangi oleh Ketua Pembangkang di dalam satu sidang media sesudah beliau menyampaikan ucapan perbahasan beliau semasa membahas Belanjawan 2014 di peringkat dasar bacaan kedua.

Ini berlaku walaupun beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor telah bangun mencelah dan memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya kepada beliau apabila beliau membahas Belanjawan 2014 ini.

Tuduhan ini ialah tuduhan liar kerana beliau menganggap Belanjawan 2014 berjumlah RM1.85 bilion ialah belanjawan tidak berimbang kerana kerajaan menggunakan rizab kerajaan sebanyak RM430 juta ringgit untuk beberapa inisiatif pembangunan.

Ini menunjukkan Ketua Pembangkang tidak memahami maksud Belanjawan berimbang. Belanjawan berimbang bermakna kerajaan akan membelanjakan wang yang berada di Kumpulan Wang Yang Disatukan (Consolidated Funds) mengikut pendapatan yang dijangka dapat dikutip oleh kerajaan pada sesuatu tahun.

Dalam konteks Selangor, kerajaan menerima pakai konsep rolling budget, iaitu kerajaan hanya akan membelanjakan wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan sekiranya terdapat penambahan pendapatan di dalamnya. Ini ialah sebab mengapa kerajaan membentangkan Enakmen Perbekalan Tambahan setiap kali Dewan bersidang.

Perkara ini boleh berlaku kerana kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam bulan. Konsep semakan berkala ini bermula apabila Perbendaharaan Negeri digesa membuat imbangan pada penyata kewangan pada setiap hujung bulan.

Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau keseimbangan di antara perbelanjaan dan pendapatan agar kerajaan tidak berbelanja di luar kemampuan sehingga mengakibatkan defisit.

Harus diingat bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri tidak dibenarkan mendapat pinjaman dari luar kecuali mendapat kebenaran daripada Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Kerajaan Selangor hanya boleh bergantung kepada kekuatan kewangan sendiri dan berbelanja di dalam kemampuannya.

Ketua Pembangkang juga menyentuh tentang peruntukan tambahan sebanyak RM430 juta daripada rizab kerajaan untuk beberapa inisiatif pembangunan di mana beliau menuduh bahawa ini ialah kompromi pihak Eksekutif akibat desakan memorandum daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BackBenchers Club – BBC). Amaun berjumlah RM430 juta ini juga digunakan oleh Ketua Pembangkang bahawa Belanjawan 2014 tidak berimbang.

Memang benar BBC pernah menghantar satu memorandum kepada pihak Eksekutif tetapi ini merupakan perkara biasa di mana ini memang merupakan budaya BBC untuk memberi input kami kepada pihak Eksekutif dari semasa ke semasa.

Selain itu, penggunaan wang rizab untuk tujuan pembangunan tidak sepatutnya menjadi isu kerana memang Menteri Besar Selangor pernah mengumumkan sebelum ini bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang daripada rizab Kerajaan Selangor untuk membina Jambatan Klang ketiga.

Perkara ini pun disebut semula dalam pembentangan Belanjawan 2014. Yang berbeza ialah inisiatif-inisiatif pembangunan lain yang melibatkan rizab kerajaan turut disebut bersama dalam Belanjawan 2014 ini. Lagipun, Belanjawan 2014 masih berimbang kerana RM430 juta ini adalah diambil daripada rizab, bukan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan.

Jadi menjadi persoalan saya ialah adakah Ketua Pembangkang sudah ketandusan isu sehingga mereka terpaksa mengempar-gempurkan isu yang remeh-temeh seperti ini?

* Lau Weng San adalah ADUN Kampung Tunku

Tiada ulasan: