Sabtu, 9 November 2013

Kereta Adun Ayer Keroh disimbah cat merah


THE MALAYSIAN INSIDER


Kereta Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh dari DAP Khoo Poay Tiang disimbah cat merah di rumahnya di Bukit Beruang, Melaka hari ini.

Khoo berkata kejadian dipercayai berlaku selepas 5 pagi sewaktu beliau dan keluarga tiada di rumah.

"Saya keluar rumah 5 pagi tadi untuk menghadiri program parti di luar Melaka dan mendapat panggilan mengenai kejadian itu daripada jiran pada 11.30 pagi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejadian simbahan cat pada kereta jenis Honda CRV itu adalah kejadian kedua tahun ini selepas kejadian pertama pada 31 Jun lepas.

"Saya menyerahkan tindakan lanjut kepada polis... saya minta mereka yang tidak berpuas hati berjumpa dengan saya untuk berbincang," katanya yang telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Muhammad Koey Abdullah berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk jika ia mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini.

Polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah Khoo dan mengesan jap jari pada plastik mengandungi cat yang dibaling bagi mengenal pasti mereka yang terlibat, katanya. – Bernama

Tiada ulasan: